PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan ke Iran bagi mewakili Malaysia untuk menghadiri pengebumian Presiden Iran, Almarhum Ebrahim Raisi.

Menerusi kenyataan di laman X, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Presiden Interim Republik Islam Iran Mohammad Mokhber pada Selasa.

Dalam perbualan tersebut, beliau merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Almarhum Presiden Raisi dan Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian yang maut dalam nahas helikopter pada 19 Mei lalu.

Beliau juga sempat mengimbau pertemuan dua kali dengan Ebrahim Raisi dan Hossein Amir-Abdollahian pada tahun lepas di New York dan Riyadh.


Perdana Menteri juga memberi jaminan kepada Mokhber bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran di bawah kepimpinan almarhum Presiden sebelum ini.

Dalam perbualan itu juga, Mokhber merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas perutusan budi dan takziah sementalah menyifatkan kedua-dua negara adalah rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi.

“Beliau turut berduka di atas kehilangan dua orang kenamaan besar dalam kemalangan tragis dan malang itu selain meninggalkan pengaruh yang sangat kuat di Iran.

“Di akhir perbualan, beliau memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama dengan Malaysia akan tetap dipelihara lantas diperkukuh,” tulis Perdana Menteri.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan Presiden Raisi dilaporkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki beliau terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Reuters melaporkan, seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan bahawa helikopter yang hilang itu ditemui 'terbakar sepenuhnya'.