KUALA LUMPUR: Sesi petang sidang Dewan Rakyat sedikit panas apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan lawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke London pada Oktober lepas.

Rayer meminta penjelasan Mohamed Azmin adakah keluarga beliau mengikuti rombongan tersebut dan bagaimana pula dengan perbelanjaan dalam misi perdagangan itu.

Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun bagaimanapun enggan membenarkan soalan tersebut ditanya kerana ia tidak berkaitan dengan Bajet 2022.

BACA: Azmin, pegawai kanan MITI ke Eropah untuk misi dagangan, pelaburan

BACA: Pelabur Eropah beri komitmen untuk melabur RM14.1 bilion di Malaysia - MITI

Begitupun, beliau memberi pilihan kepada Ahli Parlimen Gombak itu untuk menjawab pertanyaan Rayer dan Mohamed Azmin kemudian menjawab isu yang dibangkitkan itu.

“Saya memahami tindakan Yang Berhormat Jelutong ini lebih cuba untuk mengalihkan fokus kepada isu yang lebih besar. Namun, saya tiada masalah untuk menjawab perkara dibangkitkan.

“Setiap perbelanjaan dalam Trade Mission MITI adalah mematuhi peraturan dan prosedur kewangan kerana sebelum ia diluluskan, ia mesti dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Setiap perincian, senarai delegasi, jumlah peruntukan, perbelanjaan, destinasi, itu semua diperincikan dan diluluskan jemaah menteri mengikut peraturan dan tatacara kewangan. Saya menafikan tuduhan Yang Berhormat Jelutong,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.


Dewan Rakyat kecoh dakwaan rombongan keluarga MITI

Rayer kemudian bangun mencelah sekali lagi dan menyatakan beliau tidak menuduh, hanya bertanya soalan namun Azhar sekali lagi melarang beliau berbuat demikian kerana isu tersebut sudah dijawab.

“Jangan perkecilkan tugas kami untuk semak dan imbang, sebab itu kami berada di sini.

“Saya tidak menuduh, saya tanya soalan bagi pihak rakyat. Apa salahnya?” soal Rayer.

Mohamed Azmin kemudian membalas: “Saya telah berikan penjelasan. Terima kasih Jelutong.”