PUTRAJAYA: Agensi kerajaan di semua peringkat akan menggerakkan misi pascabanjir dalam usaha mempermudah urusan setiap mangsa di negeri terjejas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu berkata gerak atur misi pascabanjir akan dilaksana dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi kerajaan yang lain.

"Lazimnya permasalahan yang berlaku adalah selepas bencana. Dalam soal ini, ramai bantu ketika berlaku bencana tetapi tak ramai membantu selepas itu," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Pulau Meranti hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata bantuan kewangan untuk mangsa banjir hanya diberikan kepada mereka yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Dari segi bantuan ihsan untuk mangsa banjir, NADMA melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana di peringkat daerah lazimnya memiliki nama yang disenaraikan mengikut mereka yang dipindahkan ke PPS tetapi kerap kali bila pembayaran ingin dibuat, mereka yang tidak dipindahkan ke PPS juga mahukan bantuan," katanya.

Ketika berucap, beliau meminta aspek pengurusan komunikasi krisis dan strategik dipertingkat di setiap lapisan pengurusan bencana kerana komunikasi berkesan adalah kunci utama terhadap usaha yang dilakukan.

-- BERNAMA