Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, TSP merupakan program turun padang bagi meninjau serta menilai secara langsung isu dihadapi di peringkat sekolah dan seterusnya mencadangkan penyelesaian pada pihak berkaitan.
Beliau berkata, menerusi lawatan ke beberapa buah sekolah dengan tujuan khusus untuk melihat aspek akses pendidikan di pedalaman, banyak perkara telah dibangkitkan dan dikongsikan oleh pihak sekolah.
"Ada perkara dapat kita selesaikan dan ada juga memerlukan kerjasama agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan suasana kondusif untuk anak-anak kita belajar," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Semah, di sini, semalam.
Selain SK Nanga Semah, program TSP di Sarawak turut mengadakan lawatan ke SK Kg Kut, Daro serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya, Sibu.
Program yang turut disertai pengurusan tertinggi KPM serta wakil rakyat tempatan itu akan meneruskan lawatan ke Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro, SK Kg Pangtray, SMK Matu, SK Kg Pergau di Daro dan SK Kampong Tellian di Mukah, hari ini.
Sementara itu, Fadhlina berkata, antara isu berkaitan akses pendidikan yang sering dibangkitkan di Sarawak adalah berkaitan penyediaan infrastruktur serta guru.
Beliau berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, warga pendidik serta murid di Sarawak berjaya menunjukkan komitmen serta kehadiran yang sangat baik.
"Di Sarawak antara perkara sering dibangkitkan adalah isu kekurangan guru, kemudahan serta pembangunan. (Namun) apabila kita datang ke sini (Sarawak) kita dapati secara amnya kehadiran anak-anak kita (murid) di sekolah yang kami lawati mencapai 97 hingga 98 peratus dan mereka hanya tidak hadir apabila tidak sihat sahaja," katanya.
Selain itu, beliau berkata, pembinaan asrama yang diselenggara dengan baik juga penting di Sarawak terutamanya kepada murid yang tinggal jauh dari sekolah.
Program TSP di Sarawak merupakan siri ketiga tahun ini selepas Selangor pada April serta di Pulau Tioman, Pahang pada Ogos. - BERNAMA