KUCHING: Bekalan vaksin Pfizer BioNTech untuk fasa pertama dijangka tiba di Miri, Sarawak pada 6 Mac 2021.

Fasa pertama dijadual bermula Mac sehingga April 2021 akan melibatkan petugas barisan hadapan manakala fasa dua dan tiga yang dikhususkan untuk 80 peratus populasi di Miri yang berumur 18 tahun ke atas akan diberikan bermula April 2021 sehingga Ogos 2021.

Menurut kenyataan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin, suntikan vaksin akan dilaksanakan di tujuh fasiliti yang ditetapkan di daerah itu.

Tambahnya, bagi tujuan pendaftaran vaksinasi COVID-19 di Miri, orang ramai diminta memuat turun dan mendaftar sebagai pengguna aplikasi MySejahtera dan mengaktifkan sistem notifikasi sebaik sahaja pilihan itu boleh digunakan.

“Temu janji bagi pemberian vaksin akan diberi menerusi aplikasi MySejahtera dan penerima vaksin perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada masa ditetapkan.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai akses kepada internet, mereka boleh mengemukakan permohonan vaksinasi melalui empat saluran ditetapkan,” kata Kim Shin yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak pada Ahad/

Empat saluran permohonan tersebut melibatkan pejabat daerah, melalui ketua kaum, ketua kampung, kapitan dan tuai rumah yang akan dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.

Selain itu, permohonan juga boleh dibuat melalui Jawatankuasa Penduduk (RC), Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis dan Marudi.

Bagi penduduk di kawasan pedalaman, pendaftaran boleh dilakukan di 23 klinik kesihatan berdekatan termasuk Klinik Kesihatan Ulu Teru, Klinik Kesihatan Long San, Klinik Kesihatan Long Jeeh dan Klinik Kesihatan Bario.

BACA: Sarawak terima bekalan vaksin 24 Februari ini

Untuk itu, Kim Shin mengingatkan orang ramai untuk mendaftar dengan menggunakan saluran yang telah ditetapkan kerajaan negeri.

“Jangan sesekali percaya dan memberikan maklumat peribadi anda kepada pihak yang tidak bertanggungjawab yang mendakwa boleh membantu dengan urusan pendaftaran bagi pihak anda.

“Bagi mereka yang menetap di kawasan pedalaman, anda boleh mendapatkan nasihat daripada ketua kampung dan sebagainya bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang prosedur pendaftaran ini,” tambahnya.

Terdahulu ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata penghantaran vaksin ke Sarawak akan dilakukan pada 24 Februari ini sebelum pelancaran program imunisasi negeri yang dijadual pada 27 Februari 2021.


Semua berita vaksin COVID-19