Kira-kira 1,000 penduduk Pangsapuri Indahria di Seksyen 22, Batu Tiga di sini meminta Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dan membantu menyelesaikan masalah tanah mendap di kediaman mereka yang didakwa semakin mengancam keselamatan.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu, Ariffuniza Koraini berkata mereka bimbang kemungkinan berlakunya tragedi berlaku berikutan tanah mendap yang berlaku di beberapa tempat termasuk kawasan parkir, turut memberi kesan kepada struktur bangunan pangsapuri.

"Masalah tanah mendap ini telah disuarakan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pemaju sejak Mei tahun lepas, namun tiada tindakan efektif diambil, malah ibarat saling menuding jari antara satu pihak dengan pihak yang lain," katanya dalam sidang media."

Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan penduduk ialah kajian Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) memaklumkan pemaju mendirikan pangsapuri itu tanpa mengikut spesifikasi sepatutnya.

Sehubungan itu, Ariffuniza berkata penduduk mahu Abdul Khalid mengarahkan MBSA melantik Ikram sebagai perunding geoteknologi bagi menjalankan pemeriksaan terhadap struktur bangunan dan kawasan pangsapuri itu bagi mengetahui keadaan sebenar mendapan tanah yang berlaku.

Jelas Ariffuniza:"Kita ada maklumkan perkara ini kepada Anggota Dewan Undangan Negeri dan anggota Parlimen berkenaan, namun tiada tindakan diambil sedangkan mendapan tanah terus berlaku dari semasa ke semasa.

"Malah kami difahamkan MBSA enggan melantik Ikram kerana tidak mendapat sebarang arahan daripada Menteri Besar."

Penghuni pangsapuri, Hishamudin Ali, berkata sebulan selepas pemaju menyerahkan kunci kepada penduduk pada Mac 2009, keretakan dikesan berlaku di kawasan parkir dan walaupun pemaju ada melakukan kerja pembaikan, kejadian sama berulang pada 2010 dan 2011 sehingga ke hari ini.

Memetik laporan Ikram, beliau berkata apa yang membimbangkan ialah terdapat aliran anak sungai bawah tanah yang aktif di bawah pangsapuri itu.

"Kita hairan bagaimana sijil layak menduduki (CF) dikeluarkan sedangkan struktur dan keadaan mendapan tanah boleh berlaku sehingga mengancam keselamatan penduduk. Kami harap Menteri Besar ambil perhatian perkara ini apabila MBSA seolah-olah enggan membantu kami," dakwanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat MBSA Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata perkara itu telah diajukan kepada kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor.
Menurutnya, tindakan lanjut akan dibuat selepas mendapat makluman daripada mesyuarat