PUTRAJAYA: Malaysia menyatakan komitmen untuk memperkasakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 dan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD) di Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Paris, Perancis.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia (SKUM) berkata potensi teknologi AI perlu terus diterokai untuk menyokong matlamat pendidikan dan tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan.

Beliau menerusi kenyataan hari ini berkata turut dikongsi ialah inisiatif Malaysia yang sedang giat melaksanakan Reformasi Pendidikan, Kurikulum Persekolahan 2027 serta gerak kerja bagi pelan pembangunan pendidikan yang baharu.

Fadhlina yang mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 dari 2 Sept hingga hari ini telah mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama-sama dengan pemimpin pendidikan antarabangsa yang lain.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO Xing Qu dan mengadakan perbincangan tentang agenda pendidikan untuk semua, pemerkasaan bidang sains dan teknologi serta etika dalam teknologi AI.

Fadhlina turut menyatakan hasrat Malaysia untuk berada dalam kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2025 hingga 2029.

Beliau bekata ia selaras dengan pengalaman, komitmen, imej dan reputasi baik Malaysia selaku negara anggota yang memainkan peranan aktif dalam menerajui program-program yang dilaksanakan di peringkat serantau dan global.

Xing, katanya turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmenberterusan negara untuk memperkukuh agenda UNESCO.

-- BERNAMA