KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa bertindak baharu ditubuhkan bagi tujuan mengkoordinasi Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) demi memenuhi agenda nasional memerangi COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jawatankuasa bertindak tersebut akan menggembleng tenaga dan usaha untuk memerangi COVID-19.

Hishammuddin menjelaskan, Mindef dan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM perlu melaporkan tindakan yang telah dilaksanakan selama lebih setahun dan mencadangkan tindakan susulan yang boleh ditambahbaik.

"Sehubungan dengan itu, kelebihan sedia ada Mindef dan ATM seperti infrastruktur-infrastruktur ATM di seluruh negara seperti Hospital Angkatan Tentera, Hospital-Hospital Medan serta sekolah-sekolah
dalam kem ATM boleh dimanfaatkan untuk penambahbaikan bagi memenuhi keperluan agenda nasional.

"Saya, Timbalan Menteri, kepimpinan Mindef dan ATM akan segera turun ke lapangan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan dari kakitangan dan anggota berkenaan keadaan operasi semasa.

"Ini kerana, saya mahukan usaha yang kita lakukan ini adalah bedasarkan suara kolektif dan konsensus bersama," katanya dalam satu sidang media pada Rabu.
SEMUA ARTIKEL BERHUBUNG PRESTASI 100 HARI KABINET ISMAIL SABRI DI SINI


Beliau menjelaskan jawatankuasa bertindak tersebut akan diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan akan melapor terus kepadanya pada setiap minggu.

Hishammuddin juga menjelaskan beliau akan bekerjasama dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi memastikan usaha memperkemas dan memperkasa aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan sebaiknya.

"Bagi menjayakan agenda-agenda ini, Mindef dan ATM akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan rakan-rakan negara sekutu yang sedia ada serta meneruskan hubungan baik bersama negara-negara lain yang telah saya usahakan sewaktu di Wisma Putra," katanya lagi.

Hishammuddin menjelaskan, pengkhususan yang akan diberikan adalah bertumpu kepada aspek diplomasi
ketenteraan, aspek keselamatan antarabangsa khususnya dalam memerangi pengganas, pengurusan pandemik COVID-19, sistem kesihatan serta ekonomi dan kesejahteraan.