Susulan pengumuman Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di mana kesemua 239 penumpang diisytiharkan terkorban, ia menimbulkan ketidakpuasan hati segelintir waris dan keluarga mangsa MH370 terutama mengenai pengurusan komunikasi, penyampaian maklumat kepada keluarga mangsa.
Ketua Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah dalam Buletin Awani 7.45 berkata, syarikat penerbangan itu telah menghubungi kesemua waris sebelum pengumuman dibuat oleh pihak DCA pada 29 Januari.
“Persepsi waris tidak dihubungi mungkin berlaku kerana beranggapan media telah mengetahui terlebih dahulu tentang isu kandungan yang akan diumumkan oleh DCA pada hari tersebut kerana pihak media telah dimaklumkan terlebih awal tentang adanya sidang media,” kata Najmuddin.
Beliau menjelaskan maklumat yang diberikan kepada pihak media adalah untuk menghadiri sidang media dan bukannya tentang kandungan yang akan diumumkan oleh DCA.
Najmuddin turut menggesa semua pihak agar dapat menghormati para waris dan tidak cuba untuk mengada-adakan perkara yang tidak ada.
“Ia agar mereka lebih mudah untuk menerima tentang apa yang akan diumumkan oleh DCA,” jelasnya.