Konsortium penanggung insurans Penerbangan Malaysia (MAS) yang diketuai oleh Allianz bersedia untuk membuat pembayaran pampasan yang banyak berkenaan tuntutan insurans yang berkaitan dengan penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Tuntutan pampasan penerbangan terbesar yang pernah dibuat sebelum ini ialah berkaitan dengan serangan 9 /11 di Amerika Syarikat, dengan pembayaran purata sebanyak US$2.13 juta untuk setiap penumpang.

Sebelum ini, salah satu bayaran insurans terbesar adalah untuk tuntutan penerbangan adalah bagi penerbangan American Airlines yang terhempas di Queens, New York pada tahun 2001.

Semua 265 penumpang dan anak kapal maut di dalam insiden itu dan syarikat insurans terbabit membayar sebanyak $600 juta bagi tuntutan insurans.

"Kehilangan MH370 bermakna beberapa syarikat insurans akan membuat pembayaran dengan jumlah yang banyak tahun ini," kata seorang penganalisis penerbangan di sebuah firma broker saham tempatan.

Penanggung insurans yang membuat konsortium untuk tujuan ini biasanya tidak mendedahkan jumlah insurans yang diambil kerana ia boleh membawa kepada tindakan undang-undang yang mahal.

"Biasanya, syarikat insurans dan syarikat penerbangan itu tidak akan mendedahkan nilai penaja jaminan (underwriting), memandangkan kebimbangan ke atas tuntutan yang sangat tinggi dari peguam, " kata Hao Yansu, dekan Pusat Pengajian Insurans di Universiti Central bahagian Kewangan dan Ekonomi yang dipetik oleh China Daily.

Allianz membuat pengesahan pada 11 Mac, bahawa ia adalah pembekal utama insurans untuk pesawat itu sendiri, dan juga liabiliti berkaitan penumpang dan kargo.

Walau bagaimanapun, syarikat itu enggan mengulas mengenai jumlah kerugian (exposure) oleh mereka dan syarikat insurans lain.

Nilai insurans pesawat boleh berjumlah kira-kira $100 juta, manakala liabiliti dan pampasan biasanya berjumlah jauh lebih tinggi, lapor Reuters.

"Pampasan ini juga akan menjejaskan prestasi kewangan penanggung insurans. Namun ia adalah situasi yang jarang berlaku, dan tidak akan memberi impak yang besar dalam jangka masa panjang," kata Hao.

Malaysia dan China adalah negara yang terlibat, dan kapal terbang yang hilang dilindungi oleh Konvensyen untuk Penyatuan Peraturan Tertentu Berkaitan dengan Pengangkutan Udara Antarabangsa.

Malaysia menjadi negara yang menandatangani Konvensyen Montreal yang mengawal perjalanan antarabangsa bertiket pada tahun 2008. China menandatanganinya pada tahun 2005.

Pampasan untuk kehilangan pesawat itu berkemungkinan banyak.

Untuk rekod, harga nilai semasa Boeing 777- 200ER ialah $361.5 juta, menurut laman web Boeing Co.

Sebarang pampasan dari Malaysia Airlines bergantung kepada sebab kemalangan itu. Jika ia menetapkan bahawa bencana itu adalah akibat daripada kesilapan oleh syarikat penerbangan, pampasan itu lebih banyak.

Terdapat 154 penumpang China di dalam penerbangan yang hilang dan sebahagian besar penumpang China telah membeli polisi insurans hayat dan insurans kemalangan, menurut syarikat insurans utama China.

Ping An Insurance mempunyai sekurang-kurangnya 38 penumpang yang membeli polisi insurans mereka, dan mungkin 15 lagi. China Life mengesahkan mempunyai 30 nama penumpang di bawah mereka. Kedua-dua syarikat tidak membuat komen mengenai jumlah pampasan yang terlibat.

China Pacific Insurance Life telah mengesahkan 16 pelanggan di dalam pesawat iti, dengan jumlah pampasan kira-kira 5.44 juta yuan.

"Jika ternyata ia adalah serangan pengganas, beberapa polisi insurans perjalanan mungkin dikenakan. Tetapi ahli keluarga penumpang yang membeli polisi insurans hayat dan insurans kemalangan akan mendapat pampasan tidak kira keadaan," kata Hao.

Sementara itu Malaysia Airlines berkata ia mempunyai perlindungan insurans yang mencukupi untuk melindungi sebarang liabiliti undang-undang yang timbul daripada Penerbangan 370.

Dalam temu bual menerusi emel, MAS mendedahkan bahawa ia telah meletakkan insurans dengan sebuah konsortium syarikat insurans terkemuka dan bereputasi dalam insurans penerbangan antarabangsa. Ini termasuk Lloyds dan syarikat-syarikat insurans terkenal di peringkat global.

MAS juga berkata ia mempunyai perlindungan insurans yang mencukupi untuk memenuhi apa-apa tuntutan yang bakal timbul. Ia telah membuat bayaran awal kepada ahli keluarga penumpang yang masih menunggu khabar. Bayaran ini bagaimanapun ditanggung sepenuhnya oleh MAS dan bukan sebahagian daripada apa-apa pampasan yang boleh dibayar.