KUALA LUMPUR:Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis mengeluarkan Amaran Cuaca Bahaya (merah) di dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon dalam satu kenyataan media memaklumkan, daerah-dearah yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan.

Manakala di Terengganu, ia membabitkan daerah-daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

“Keadaan hujan lebat masih berterusan berlaku di beberapa kawasan di pantai timur Semenanjung.

"Sehubungan itu, Amaran Cuaca Buruk (Jingga) yang dikeluarkan pada 2:00 petang, 3 Disember 2020 telah dinaik taraf kepada Amaran Cuaca Bahaya (Merah),” kata kenyataan tersebut.

Menurut MetMalaysia, dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku, terutamanya di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

Amaran cuaca bahaya - MetMalaysia

“Manakala kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung (Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor), pedalaman Pahang, barat Sabah dan barat Sarawak dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

“Angin kencang timur laut berkelajuan 50 - 60 km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh tersebut. Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu,  Amaran Cuaca Buruk (jingga) dan Waspada (kuning) turut dikeluarkan di kawasan-kawasan berikut:

Amaran Cuaca Buruk (Jingga) sehingga 4 Disember 2020 untuk negeri dan kawasan seperti berikut:
i) Kelantan (Tanah Merah & Machang); dan
ii) Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun & Kemaman)

Amaran Cuaca Waspada (Kuning) berkuat kuasa sehingga 3 Disember 2020 untuk negeri dan kawasan seperti berikut:
i) Perlis;
ii) Kedah;
iii) Pulau Pinang; dan
iv) Perak (Hulu Perak);

Amaran Cuaca Waspada (Kuning) berkuat kuasa sehingga 4 Disember 2020 untuk negeri dan kawasan seperti berikut:
i) Kelantan (Jeli & Kuala Krai); dan
ii) Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan & Rompin).