Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, penduduk Kampung Talang Troso di Sungai Siput, Perak akan sibuk dengan persiapan membuat meriam buluh.

Tradisi itu dikatakan telah dimulakan sejak berpuluh-puluh tahun lalu yang pada asalnya bertujuan untuk menakut-nakutkan binatang buas daripada merosakkan tanaman penduduk.

Menurut penyelaras program meriam Kampung Talang Troso, Ahmad Fauzi Mohd Jaafar, mereka mahu menghidupkan kembali permainan tradisonal di kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Selain daripada meriam buluh, ada pelbagai jenis lain yang disebut sebagai meriam iaitu meriam tanah dan meriam besi.

“Tetapi kami lebih banyak menggunakan meriam buluh dan meriam tanah kerana sumber mendapatkannya lebih mudahlah.

“Jadi kami cuba perkenalkan semula permainan-permainan tradisional ini untuk masyarakat tempatan dan Alhamdulillah nampak gayanya masyarakat tempatan memang menyambut baik anjuran kali ini,” katanya.

Walaupun penduduk Kampung Talang Kuala Kangsar mula beralih kepada meriam besi, tetapi penduduk Kampung Talang Troso tetap dengan tradisi meriam buluh.

Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, aspek keselamatan sentiasa diutamakan.




Setiap meriam buluh diikat dengan dawai besi, di samping penggunakan buluh betung yang lebih tebal dan kukuh.

Lazimnya penduduk kampung bermain meriam pada malam-malam terakhir Ramadan, bermula malam tujuh likur hingga ke malam Hari Raya Aidilfitri.