KUALA LUMPUR : Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke China bermula esok. 

Lawatan ini adalah susulan daripada jemputan yang diterima daripada Kaunselor Negara dan Menteri Luar China, Wang Yi semasa lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada Oktober 2020.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Hishammuddin ke China sejak menjawat jawatan Menteri Luar pada 10 Mac 2020.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, semasa lawatan, Hishammuddin bersama Wang akan mempengerusikan mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan China.

Kedua-dua pihak akan membincangkan inisiatif baharu untuk memacu kerjasama dua hala dengan tumpuan khusus terhadap kerjasama pasca pandemik, termasuk pengembaraan rentas negara dan kerjasama dalam bidang vaksin.

"Malaysia dan China telah mewujudkan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang dan perkongsian strategik komprehensif.

"Lawatan ini adalah penting untuk memastikan penjanaan semula aktiviti dua hala dan kesalinghubungan dapat dilaksanakan," kata kenyataan itu lagi. 

Selain daripada hal ehwal dua hala, kedua-dua Menteri Luar itu akan turut membincangkan isu-isu semasa serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Berilhamkan hala tuju Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-23, kedua-dua negara akan turut memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk menjayakan ASEAN-China Year of Sustainable Development Corporation, pengukuhan kerjasama dalam Blue Economy dan membincangkan isu-isu sejagat melibatkan keselamatan serantau.

Lawatan rasmi Menteri Luar akan dilaksanakan dengan pematuhan sepenuhnya terhadap langkah-langkah keselamatan serta kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan National Health Commission of the People’s Republic of China.

Ini termasuk bergerak dalam gelebung perjalanan, membataskan pergerakan luar sepanjang lawatan, menghadkan jumlah pertemuan dan mematuhi segala garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

Kenyataan itu turut menyebut, Malaysia dan China adalah rakan dan negara bersahabat yang rapat malah hubungan dua hala terus meningkat maju dan kukuh, walaupun dibelengguoleh cabaran COVID-19.

"Pada tahun 2020, hubungan dagang antara kedua-dua negara terus berkembang sebanyak 4.2 peratus dan mencapai RM329.77 bilion. China terus kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia untuk 12 tahun berturut-turut dan menyumbang sebanyak 18 peratus kepada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

"Eksport ke China juga menyumbang sebanyak 16.2 peratus kepada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke luar negara," tambah kenyataan itu. 

Malaysia dan China telah meningkatkan hubungan dua hala daripada "Perkongsian Strategik" menjadi "Perkongsian Strategik Komprehensif" pada tahun 2013, menandakan bab baru dalam hubungan dua hala yang bersejarah di antara Kuala Lumpur dan Beijing.