"Sabtu lalu saya bermain dengan dia. Cucu sihat dan aktif seperti biasa... hari ini, tiba-tiba sahaja saya dapat tahu dia sudah tiada."
Itu luahan Hadijah Gan Abdullah, 63, nenek kepada Ahnaf Hanafi Mohd Hanif, berusia setahun, yang disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di Indera Mahkota 8 di sini pada Rabu, selepas ditinggalkan di rumah pengasuh.
Hadijah berkata anaknya, Mohd Hanif Sulaiman, 28, dan isterinya Roshidah Abdullah, 30, menerima panggilan telefon daripada pengasuh cucunya sekitar pukul 2.45 petang, memaklumkan anak tunggal mereka tidak sedarkan diri.
Katanya, anaknya juga difahamkan bahawa pengasuh itu meminta jirannya untuk membawa Ahnaf Hanafi ke klinik kerana tidak mempunyai kenderaan.
"Saya juga sudah biasa di klinik itu kerana menjalani rawatan di situ. Saya diberitahu cucu sebenarnya sudah tiada apabila sampai di klinik itu dan kami diminta membuat laporan polis.
"Pengasuh mengatakan cucu merengek dan dia masukkan ke dalam buaian. Saya tanya jika cucu diberi susu, tapi pengasuh kata tidak. Sukar untuk kami terima Ahnaf sudah tiada kerana dia sihat dan dia juga sebenarnya tidak biasa dibuai kerana kami tidak menggunakan buaian.
"Ayahnya beritahu Ahnaf seperti biasa pagi ini... hanya sedikit sakit pada kulit, tapi tidak mungkin itu menyebabkan kematiannya," katanya semasa ditemui Bernama di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pada Rabu.
Hadijah yang merupakan pesara guru menambah cucunya baharu sebulan lebih ditinggalkan di situ, selepas pengasuh lama di Kampung Tiram di sini, mengambil dua bayi, menjadikan mereka khuatir bagaimana beliau mahu menjaga begitu ramai kanak-kanak dalam masa yang sama.
Justeru itu, Mohd Hanif, seorang akauntan dan isteri yang merupakan kerani sebuah syarikat swasta di Indera Mahkota mencari pengasuh baharu dan difahamkan pengasuh itu turut menjaga empat kanak-kanak lain, katanya.
"Ahnaf baharu menyambut ulang tahun kelahiran pertama pada 9 Dis lalu. Saya tak sangka perkara ini boleh berlaku kepada kami kerana sering membaca kejadian seumpamanya di surat khabar.
"Bila saya baca tentang kanak-kanak terjatuh, tersedak susu atau kejadian lain melibatkan bayi, saya akan mengingatkan anak-anak supaya sentiasa berhati-hati dengan anak mereka," katanya.
Hadijah yang menetap di Bukit Setongkol di sini menambah Ahnaf adalah cucu kedua bongsu daripada lima cucunya dan sedang aktif merangkak dan cuba bertatih.
Beliau menambah mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Indera Mahkota sekitar pukul 4 petang tadi dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu, jika wujud unsur kecuaian.
Jenazah Ahnaf Hanafi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini esok, kerana mereka menunggu keluarga Roshidah dari Marang, Terengganu.
Ibu bapa kanak-kanak itu enggan ditemuramah dan Roshidah difahamkan enggan menjamah makanan sejak kejadian berlaku dan perlu ditenangkan beberapa anggota keluarga dan rakan sekerja.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali semasa dihubungi berkata, siasatan atas kejadian itu sedang dijalankan.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Jan 10 2018
Mohd Hanif Sulaiman membawa anaknya, Ahnaf Hanafi, yang meninggal dunia di rumah pengasuh di Taman Indera Mahkota 15, Kuantan, 10 Jan, 2018. --fotoBERNAMA
Serangan seksual di tahfiz: Hukuman penjara 13 tahun bekas guru agama kekal
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 13 tahun yang dijatuhkan ke atas seorang bekas guru agama kerana melakukan serangan seksual terhadap pelajar.
Jambatan Batang Rajang siap sepenuhnya pada Mac 2025
Jarak perjalanan dari Sarikei dan Tanjong Manis akan menjadi semakin dekat kepada hanya 50 minit apabila Jambatan Batang Rajang siap sepenuhnya pada Mac 2025.
Laporan pertama akan dibawa ke DUN Sarawak
Laporan Pertama Ombudsman Sarawak dijangka dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun hadapan sejurus urusan penyediaan sistemnya selesai.
Tuntutan satu pertiga kerusi parlimen mesti ikut MA63 - Kelvin
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii menyokong tuntutan satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen yang dibuat oleh Sarawak dan Sabah. Namun harus dibuat berdasarkan apa yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
PM Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak APEC
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31, di Lima, Peru.
Sabah sambut baik keputusan Mahkamah Agung Perancis
Kerajaan negeri menyambut baik keputusan Mahkamah Agung Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.
Kabinet tidak bincang isu Majlis Profesor Negara - Fahmi
Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan isu berkaitan Majlis Profesor Negara (MPN) selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengkaji sem
Kemuncak Monsun Timur Laut hujung Nov, taburan hujan tinggi
Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini menyaksikan taburan hujan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di pantai timur serta Sabah dan Sarawak.
Lelaki maut maut di Hotel di Bintulu, dua suspek ditahan
Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam satu insiden tembakan di kawasan parkir kenderaan sebuah hotel di Bintulu pada lewat malam Khamis.
Pantau Agenda Reformasi: IPSOS: Rasuah kekal jadi kerisauan utama rakyat Malaysia
Isu rasuah kekal menjadi kebimbangan utama di Malaysia, diikuti oleh pengangguran dan kemiskinan. Sementara, kerisauan utama pada peringkat global ialah kadar inflasi, jenayah dan tahap kemiskinan.
Meninggal dunia selepas di hantar ke rumah pengasuh
Hadijah berkata anaknya, Mohd Hanif Sulaiman, 28, dan isterinya Roshidah Abdullah, 30, menerima panggilan telefon daripada pengasuh cucunya sekitar pukul 2.45 petang.