KUALA LUMPUR:Khabar pemergian ibu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah, pada petang Jumaat menerima pelbagai reaksi umum yang turut menyampaikan ucapan takziah.

Dalam lingkungan sanak-saudara pula, perkongsian perasaan dukacita itu dikongsikan secara lebih peribadi lantaran mereka mengenali dengan lebih dekat pada balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein itu.

"Tun Rahah Mohamed Noah ibu saudara yang saya cukup rapat. Banyak masa saya membesar di bawah penjagaan beliau. Insan ini amat penyayang, prihatin, baik hati dan tabah," ujar anak saudara kepada Allahyarham, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Luahan itu HIshammuddin tumpahkan di akaun Instagram rasmi beliau, yang antara lain mengimbas semula ketika Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia, Tun Rahah baru berusia 43 tahun.

"Saya kagum dengan kecekalan beliau membesarkan lima anak lelaki yang juga sepupu saya sendiri.

"Saya kerap ziarah beliau dalam beberapa bulan ini termasuklah yang terbaru semalam (Khamis, 17 Disember).

"Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa sedihnya saya apabila dimaklumkan beliau telah pergi buat selama-lamanya. Apa yang saya rasai ketika ini sama seperti ketika Allahyarham Bonda saya menghembuskan nafas terakhir 6 tahun lalu," kata Ahli Parlimen Sembrong itu dalam kapsyen gambarnya.


Kapsyen di Instagram itu mengiringi gambar yang menunjukkan Hishammuddin berdiri di belakang Tun Rahah yang sedang duduk, sambil mereka berdua beramah mesra dengan beberapa individu dalam sebuah majlis yang tidak disertakan butirannya.

"Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sepupu-sepupu saya, @najib_razak, @nazir.razak, Nizam, Nazim dan Johari atas kehilangan bonda tercinta.

"Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pengampun. Ampunilah dosa ibu saudaraku ini, terimalah setiap amal kebaikannya dan tempatkanlah ibu saudaraku ini bersama para HambaMu yang diredhai," kata Hishammuddin.

Tun Rahah meninggal dunia sekitar jam 4.30 petang, Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara. Khabar pemergian Tun Rahah itu disahkan sendiri oleh Datuk Seri Najib.

BACA: Kekuatan di sebalik kelembutan wanita bernama Tun Rahah

BACA: Doa Najib buat ibu tersayang