PENGUBAHAN wang haram ialah proses menjadikan wang atau aset yang diperoleh dari aktiviti haram kelihatan sah. Ia merupakan proses mencuci wang 'kotor' bagi menyembunyikan sumber asal wang tersebut.

Wang haram ini dibersihkan dengan bijak hasil daripada aktiviti haram, seperti rasuah, penipuan, pengedaran dadah, keganasan, pelacuran dan perjudian haram.

Ekonomi bawah tanah

Wang merupakan sebab utama untuk terlibat dalam aktiviti jenayah dan matlamatnya adalah untuk memasukkan wang haram ke dalam sistem kewangan, termasuk mata wang kripto, urus niaga kewangan rentas sempadan.

Ekonomi bawah tanah seiring dikaitakan dengan aktiviti jenayah menghasilkan antara 20 hingga 30 peratus daripada keluaran KDNK Malaysia dan suka atau tidak, juga ia turut membiayai ekonomi kita dengan skala yang besar.

Tiga peringkat pengubahan wang haram

Berikut ialah tiga langkah untuk membersihkan wang tersebut.

1. Penempatan: Pemindahan tunai haram yang memasuki sistem kewangan (melalui pindahan kawat dan pemindahan dana ke luar pesisir);

2. Lapisan: Proses di mana wang itu diasingkan daripada sumber asal haram; dan,

3. Integrasi: Akhirnya, wang memasuki semula sistem kewangan dan ekonomi melalui pelaburan yang sah.

Undang-undang pengubahan wang haram

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa untuk menguatkuasakan pemulihan aset yang dicuri melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Di Malaysia, hukuman di bawah kesalahan AMLATFPUAA 2001 boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Artikel penulisan Mohamad Zamri Zainul Abidin, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram (SPRM) sangat baik.

Katanya, sejak kebelakangan ini, terdapat banyak salah faham tentang kegunaan kompaun sebagai salah satu strategi bagi pemulihan aset menggunakan akta tersebut.

Dalam pemikiran biasa, seseorang yang telah didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram perlu dihukum dengan hukuman penjara, denda yang tinggi serta pemulihan keseluruhan aset yang dicuri.

Namun, realiti jauh lebih kompleks. Pemulihan wang haram menjadi lebih rumit disebabkan perubahan modus operandi penjenayah yang beroperasi dalam sindiket dan mengubah hasil pendapatan haram mereka melalui  mata wang digital atau syarikat yang didaftar secara sah dengan wakil serta penama sebagai proksi untuk menyembunyikan harta mereka supaya sukar dikesan SPRM.

Selalunya, ia dilakukan melalui transaksi kewangan yang kelihatan sah sementara hasil pendapatan haram digunakan untuk tujuan sah atau haram bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan.

Ia juga boleh diderma kepada pertubuhan amal atau dijadikan sebagai bayaran untuk perkhidmatan atau pembelian yang sah ataupun bagi tujuan pembiayaan politik.

Semangat akta pengubahan wang haram

Dalam konteks ini adalah penting untuk memafahami inpati atau semangat Akta Pengubahan Wang Haram yang berbeza daripada Akta-Akta lain termasuk  Kanun Keseksaan yang digunakan untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman setimpal bagi mencegah penjenayah.

Zamri berkata yang penting  sesuatu tindakan itu lebih praktikal untuk mendapatkan semula aset yang disita dan rampas dikembalikan kepada rakyat melalui Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan serta melupuhkan sindiket.

Seseorang pesalah juga boleh terlepas atas faktor teknikal sewaktu proses rayuan yang melibatkan masa yang panjang. Atau mungkin pesalah itu berjaya disabitkan dan dipenjarakan beberapa tahun, dan apabila dibebaskan, tidak mustahil  dia masih boleh mengakses duit haramnya atau dilabur secara sah melalui proksi mereka.

Seseorang pesalah pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan pula yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda, ada kemungkinan pendakwaan kes tersebut mengambil beberapa tahun  untuk membuktikan dengan tanpa keraguan kesalahan pesalah tersebut.

Apa yang dinyatakan beliau benarnya. Lagpipun adalah tidak tepat jika dibuat perbandingan antara kes pengubahan wang haram dengan Kanun Keseksaan.

Strategi pemulihan aset

Sebaliknya, beberapa strategi mampu untuk pemulihan aset dengan menggunakan AMLATFPUAA.

Antaranya, pendakwaan jenayah, pelucutan sivil, denda kompaun, pemulihan aset kepada pemilik-pemilik sah dan pemulihan aset dari orang-orang yang melarikan diri.

Pemilihan strategi digunaka bergantung kepada kesesuaian, keseimbangan risiko, kebolehan untuk mengumpul bukti dan saksi-saksi yang bergantung kepada perjanjian perjanjian rentas sempadan dan lain-lain faktor yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan memulihkan aset.

Denda Kompaun

Ia sangat tepat bila dikatakan kes mengenakan kompaun untuk pemulihan aset, AMLATFPUAA tidak perlu membuktikan tanpa keraguan bagi menawarkan pembayaran denda kompaun kepada tertuduh seperti kes di bawak Kanun Keseksaan.

Kesalahan kompaun sama sekali tidak menunjukan bahawa tertuduh itu tidak bersalah. Ia merupakan tindakan punitif dan tindakan membayar kompaun tersebut merupakan satu pengakuan kesalahan.

Memang tepat, strategi ini menjimatkan kos dan masa mahkamah dengan pemulihan sebahagian aset yang dipertikaikan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang. Namun, jika tertuduh gagal membayar kompaun tersebut, dia boleh didakwa dalam perbicaraan penuh dalam mahkamah.

Kejayaan SPRM dalam pemulihan aset

Sehubungan dengan ini, SPRM telah berjaya mencapai sebanyak 45% dalam pemulihan aset, atau RM21 bilion dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Antarabangsa  mengenai pemulihan aset dan pendakwaan 1MDB. Ahli-ahli pasukan ini terdiri daripada Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Switzerland dan Luxembourg.

Di dalam negara, SPRM masih terus memulihkan aset berkaitan 1MDB. Antaranya ialah 80 individu dan entiti yang dikenakan notis-notis kompaun kerana menerima dana berjumlah RM420 juta dari 1MDB.

Kaedah pemikiran luar kotak

Ramai rakyat Malaysia telah disiasat dan didakwa oleh SPRM.

Seseorang ‘politically exposed person’ mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk terlibat dalam pengubahan wang haram kerana jawatan yang mereka pegang.

Mereka berfikir di luar kotak untuk membersihkan wang haram  dengan pelbagai cara.  Selain perniagaan dan peruncitan, pembiayaan politik, pilihan raya atau menubuhkan badan kebajikan adalah salah satu kaedah  bukan konvensional yang digunakan untuk mencuci wang haram mereka.

Selain itu, kotak berisi wang tunai dikatakan diterbangkan melalui jet swasta.

Wang tunai haram adalah sumpahan yang tidak berani dibangkitkan dalam pilihan raya akan datang (dirty cash is a curse that dares not speak its name in the upcoming election).

Mereka sepatutnya mengelak daripada pengubahan wang haram  kerana  ia meracuni dan meninggalkan kekotoran pada demokrasi kita yang tidak akan hilang dengan mudah.



* Datuk Seri Akhbar Satar merupakan Pengarah dan Pemegang kursi profesor, Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP.

** Artikel ini adalah dari pandangan peribadi dan perspektif bidang tugas penulisnya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.