PADA November 2020, UNICEF telah menerbitkan sebuah makalah ringkas bertajuk ‘Addressing Malaysia’s Nutrition Crisis Post-Covid 19: Time For Nutrition Focused Social Protection’.

Makalah ini, yang diterbitkan ditengah-tengah pandemik COVID-19 berusaha untuk memberi amaran awal mengenai krisis nutrisi yang bakal menimpa Malaysia pasca COVID-19.

Misalnya makalah ini menjelaskan dapatan awal mereka bahawa sebanyak 53% daripada keluarga berpendapatan rendah di kawasan urban mengubah tabiat pemakanan mereka kerana tidak lagi mampu membeli.

Sebanyak 43% pengambilan protein dari haiwan pula menurun manakala pengambilan telur pula meningkat sebanyak 48%. Ini menggambarkan sebahagian besar daripada keluarga ini berhenti membeli daging, ayam mahupun ikan tetapi menukarkannya dengan pengambilan telur sahaja.

SEBELUM PANDEMIK

Makalah tersebut juga menjelaskan sebelum pandemik melanda lagi, sebanyak 4.88 juta ataupun 25% orang dewasa dalam negara ini dikenal pasti sebagai ‘food insecure’.

Survei oleh Malaysian Adult Nutrition Survey (MANS) pada 2014 juga menyatakan hampir 4.98 juta orang atau 25.5% menghadapi ketidakcukupan makanan manakala 4.26 juta orang atau 21.9% pula terpaksa mengecilkan saiz makanan akibat kekangan kewangan.

Dalam masa sama, ketidakcukupan makanan ini juga memberi kesan kepada kanak-kanak. Sekitar 4 juta kanak-kanak ataupun 23.7% menghadapi masalah kebergantungan kepada sebilangan kecil makanan yang murah manakala 3.5 juta keluarga ataupun 20.8% pula melaporkan ketidakmampuan untuk memberi anak-anak mereka makanan berkhasiat kerana kekangan kewangan. Akibat pandemik. UNICEF menjangkakan 9.76 juta orang atau 30% populasi Malaysia akan terkesan dengan ketidakcukupan makanan akibat pandemik.

Bahkah sebenarnya laporan mengenai isu bantut dan malnutrisi di kalangan kanak-kanak Malaysia mula diperkatakan pada awal 2018 lagi, hampir 2 tahun sebelum pandemik berlaku.

Pertama dan yang paling awal mendedahkan isu penting ini adalah Laporan Kanak-kanak Pinggiran oleh Unicef yang terbit pada Februari 2018.

KKM AKHIRNYA AKUI ISU MALNUTRISI

Namun sejak isu bantut dan malnutrisi di kalangan kanak-kanak ini didedahkan awal 2018, tiada sebarang komen diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beberapa laporan yang lain menyusul setelah itu. Laporan Memahami Pemakanan Sekolah di Malaysia oleh Khazanah Research Institute (KRI), terbit pada Februari 2020. Laporan Keluarga di Pinggiran Isu 1, Kesan Langsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Unicef & UNFPA terbit pada Ogos 2020. Laporan Analisis Situasi Wanita & Kanak-kanak di Malaysia 2020 oleh Unicef terbit pada September 2020. Laporan Keluarga di Pinggiran Isu 2, Bagaimana Mereka Selepas PKP oleh Unicef & UNFPA terbit pada Oktober 2020.

Kesemua laporan ini menyatakan hasil dapatan yang sama. Terbaru, kadar bantut kanak-kanak meningkat sehingga 21.8% pada tahun 2019 daripada 17.7% pada tahun 2015.

5 laporan & kajian penting mengenai isu bantut & malnutrisi di kalangan murid sekolah rendah terbit sejak 2 tahun kebelakangan ini.

Pengumuman Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaludin pada 27 Jun 2022 mengenai Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Bantut dalam Kalangan Kanak- kanak 2022-2030 yang baru diluluskan adalah sebuah pengumuman besar yang patut diberi perhatian.

Ini kerana buat pertama kalinya Kerajaan negara ini memberi respon dan mengakui bahawa isu bantut dan malnutrisi di kalangan kanak-kanak adalah sebuah masalah yang perlu ditangani.

Juga untuk pertama kalinya, sebuah Jawatankuasa merangkumi empat kementerian iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan meneliti isu ini secara bersepadu melalui Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia.

4 JUTA KANAK-KANAK BERISIKO BANTUT

Sejak 2015 nasib kanak-kanak bantut tidak pernah mendapat perhatian mana- mana pihak berwajib. Sindrom penafian dikalangan pihak berwajib seperti Kementerian, warga birokrat Kerajaan serta ahli politik akhirnya telah menyebabkan isu kanak-kanak bantut ini semakin parah saban tahun kerana tiada tindakan proaktif diambil dalam skala nasional untuk membendung masalah tersebut. Situasi ini menjadikan peratusan kanak-kanak bantut sehingga 17 peratus pada 2015 meningkat naik kepada 21.8 peratus pada 2019.

Lebih menakutkan, masalah kebantutan dalam kalangan kanak-kanak ini juga sebenarnya turut memberi impak kepada perkembangan psikomotor, psikologi, sosial, darjah kecerdasan otak (IQ) serta darjah kecerdasan emosi (EQ) kanak- kanak.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan sekolah ditutup sehingga lebih dari 42 minggu sejak 2020, hampir 600,000 penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tidak menerima bantuan makanan berkhasiat. Ini bermakna lebih dari 300 hari kanak-kanak ini tidak menerima makanan berkhasiat ketika sekolah ditutup. Menurut Unicef, bantuan makanan berkhasiat yang disediakan di sekolah merangkumi sehingga satu pertiga daripada nilai kalori yang perlu diambil oleh kanak-kanak ini setiap hari.

Juga perlu diambilkira amaran awal Unicef bahawa sekitar 4 juta kanak-kanak menghadapi masalah kebergantungan kepada sebilangan kecil makanan yang murah kerana kekangan kewangan keluarga masing-masing.

4 juta kanak-kanak ini semuanya berisiko menjadi bantut di masa hadapan serta hampir pasti akan menjadi statistik malnutrisi di laporan tahun-tahun hadapan.

MISKIN NUTRISI & KRISIS NASIONAL

Ketidakcukupan makanan atau miskin nutrisi ini seterusnya akan menerbitkan krisis berpanjangan untuk negara di masa depan.

4 juta kanak-kanak, 3.5 juta keluarga ataupun 9.76 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan ketidakcukupan makanan ini akan berdepan dengan masalah berganda di masa hadapan. Untuk jangka masa panjang, kesan buruknya bermula dengan perbelanjaan kesihatan yang lebih tinggi kerana selalu sakit akibat tidak cukup nutrien. Kemudian pencapaian pendidikan yang lebih rendah, kehilangan produktiviti serta risiko pendapatan yang lebih rendah ketika dewasa. Kesemua ini akan meningkatkan potensi golongan miskin nutrisi ini untuk menjadi miskin dalam kehidupan mereka di masa hadapan.

Dengan peningkatan Purata Garis Kemiskinan (PGK) yang dikemaskini semula pada tahun 2021 dan kadar garis kemiskinan di peringkat nasinal kini berada pada kadar RM 2208, lebih ramai rakyat Malaysia pada hari ini sebenarnya terkesan dengan ketidakcukupan makanan dan miskin nutrisi.

Kerajaan pada hari ini berdepan dengan krisis nasional yang akan membarah akibat daripada miskin nutrisi ini. Hanya reformasi struktural terhadap sistem perlindungan sosial rakyat yang meletakkan keutamaan untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan kanak-kanak dan keluarga dapat mengelakkan kita daripada krisis yang lebih besar di masa hadapan.

Sebagai langkah awal, sebenarnya Kerajaan lebih dari mampu untuk menjalankan intervensi terhadap krisis ini. Misalnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mungkin boleh menyemak semula perlaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) sepertimana yang pernah dilaksanakan pada awal tahun 2020 yang lalu.

Perlaksanaan PSP untuk 190 hari setahun, untuk kesemua murid Sekolah Rendah seramai 2.7 juta orang hanya akan melibatkan kos sekitar RM 765 juta sekiranya makanan tersebut berharga RM1.50 sepinggan, ataupun RM 1.6 bilion sekiranya makanan tersebut berharga RM3.00 sepinggan.

RM 765 juta ataupun RM 1.6 bilion setahun adalah harga yang kecil untuk dibandingkan dengan kesan berganda terhadap krisis produktiviti, krisis kemiskinan dan krisis kesihatan yang perlu ditanggung oleh negara untuk jangka masa 5 ke 10 tahun ke hadapan.

- ZF Amir



*Tulisan ini tersiar di The Malaysian Insight pada 21 Julai 2022

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.