MELAKA: Empat lapangan golf berprestij dengan 27 lubang di Melaka dilihat mampu menjadikan negeri ini sebagai tuan rumah dalam penganjuran kejohanan golf berskala besar dan bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia secara tidak langsung bakal melonjakkan pelancongan sukan yang dirancang oleh kerajaan negeri.

"Kalau ikutkan memang negeri lain turut mempunyai lapangan golf malah mungkin lebih hebat tetapi kami tetap mengalu-alukan penganjuran bertaraf antarabangsa dan kehadiran pemain ternama peringkat Asia malah dunia untuk datang beraksi di sini," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Insentif Kecemerlangan Golf Remaja Persatuan Golf Negeri Melaka di Ayer Keroh Country Club (AKCC) di sini pada Sabtu.

Katanya, kelab-kelab golf berprestij iaitu AKCC, Tiara Melaka Golf and Country Club, Orna Golf and Country Club dan A' Famosa Golf Resort juga diharap terus menjadi lapangan terbaik dalam mencungkil bakat anak-anak Melaka dalam sukan golf.

"Selain lapangan, kita percaya dengan pemberian insentif ini juga akan lebih ramai pemain dapat dilahirkan dan dalam masa sama melonjakkan semangat mereka mempamerkan permainan yang bermutu," katanya.

-- BERNAMA