AYER KEROH: Proses vaksinasi kepada pemain industri pelancongan di Melaka akan disegerakan bagi membolehkan sektor industri itu dibuka dalam masa terdekat.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu akan dilaksanakan dengan mewujudkan program vaksinasi khas bagi sektor berkenaan sejurus bekalan dos tambahan vaksin COVID-19 diterima.

“Memang ada cadangan sebab kita mesti bersedia apabila buka nanti (sektor ekonomi), pemain industri pelancongan mereka sudah bersedia yang mana kita tidak boleh lewat kerana Melaka sebuah negeri pelancongan.

“Kita memang komited untuk pastikan pekerja di sektor industri ini dapat diberikan vaksin cepat dan nama-nama mereka yang layak juga telah dihantar, cumanya kelulusan hanya akan ditentukan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Al-Alami di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai strategi kerajaan negeri dalam menghidupkan kembali sektor pelancongan Melaka, beliau berkata, kerajaan negeri sudah memohon kepada Jawatankuasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk menilai semula indikator pencapaian nilai ambang yang ditetapkan.

Ini kerana, jelas beliau, Melaka merupakan sebuah negeri yang kecil selain hanya sebuah hospital yang menyediakan Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 bagi merawat pesakit tahap empat dan lima.

“Nilai ambang ini dia ada tiga indikator yang membolehkan Melaka berpindah ke Fasa Dua, ketiga dan seterusnya yang mana sehingga kini kita masih ada di fasa pertama.

“Contohnya antara pencapaian adalah perlu memastikan peratusan pesakit COVID-19, di ICU bawah 70 peratus sedangkan kita sudah mencecah hampir 110 peratus.

“Kita bukan seperti negeri lain yang ada banyak hospital menempatkan pesakit COVID-19 yang kritikal, sebaliknya di Melaka ini hanya satu hospital yang ICU COVID-19 digunakan. Mana mungkin kita boleh capai nilai ambang ini, tidak akan tercapai,” tegasnya.

Justeru, katanya, dengan penilaian semula indikator nilai ambang ditetapkan, beliau memohon kelonggaran merentas daerah bagi individu yang sudah lengkap dua dos di Melaka memandangkan negeri ini hanya mempunyai tiga daerah.

Jelasnya, langkah itu secara tidak langsung membantu kerajaan negeri memulihkan industri pelancongan sekali gus meningkatkan taraf ekonomi negeri.