Ringkasan AI
- Kedudukan Kewangan Stabil: HRD Corp berjaya mencatatkan kedudukan kewangan yang stabil, seperti yang diperakui dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024. Keadaan ini akan membantu memperkasakan program latihan modal insan yang diperlukan oleh syarikat di negara ini.
- Keuntungan Pelaburan: HRD Corp mencatat keuntungan terkumpul sebanyak RM389.95 juta setakat 31 Disember 2022. Keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta dicatatkan sehingga akhir Disember 2023, melibatkan kira-kira 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.
- Peranan HRD Corp: Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) membenarkan HRD Corp untuk membuat pelaburan mengikut prosedur undang-undang. Pengurusan HRD Corp perlu terus memantau dan meningkatkan tadbir urus dana serta fokus pada aspek latihan dan pembangunan untuk menjadi pengurusan dana latihan yang terbaik di dunia.
Presidennya, Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, aspek kewangan HRD Corp yang stabil akan membantu memperkasakan semua program latihan modal insan yang diperlukan oleh syarikat yang menjalankan operasi perniagaan di negara ini.
"Bagi pihak majikan, ini tentunya suatu berita gembira kerana kami boleh mengharapkan pengurusan HRD Corp untuk menjalankan latihan bagi menambah baik aspek kemahiran dan kepakaran para pekerja kami.
"Tahniah kepada pasukan pengurusan HRD Corp untuk kejayaan ini dan kami di pihak majikan akan sentiasa bekerjasama untuk membangunkan ekonomi negara ini terutama aspek memperkasakan modal insan yang menjadi antara teras utama perniagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beberapa hari yang lalu, LKAN 2/2024 yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat menyatakan HRD Corp mencatatkan keuntungan terkumpul sebanyak RM389.95 juta setakat 31 Disember 2022.
Sementara semalam media melaporkan HRD Corp mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023.
Jumlah tersebut melibatkan kira-kira 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) turut membenarkan HRD Corp untuk membuat pelaburan mengikut prosedur yang termaktub dari segi undang-undang.
Katanya, rekod turut menunjukkan majoriti pelaburan yang dibuat agensi tersebut berjaya.
"Kami percaya tiada pelaburan (yang mencatat keuntungan) 100 peratus. Perlu ada beberapa risiko yang diambil kira.
"Kami bersetuju bahawa satu semakan dalam kelayakan jawatankuasa pelaburan perlu dilakukan untuk membawa masuk pakar-pakar kerana dana-dana ini akan terus meningkat," ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau berharap penemuan dalam laporan LKAN akan menjadikan HRD Corp lebih kukuh dalam tadbir urus dana.
Syed Hussain menambah dengan pengurusan dan fokus yang lebih tepat dalam aspek latihan dan pembangunan, HRD Corp mampu menjadi pengurusan dana latihan yang pertama di dunia.
"Sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kami belum menemui negara yang telah menubuhkan dana seumpama ini.
"Malaysia adalah peneraju dalam bidang pembangunan bakat ini. HRD Corp boleh menjadi lebih baik dan menjadi contoh teladan untuk pembangunan manusia," katanya lagi.