Media sosial telah mengubah cara pengamal media terutama wartawan melibatkan diri dengan audiens mereka.

Ketua Pengarang Times Group Digital of India, Rajesh Kalra berkata media sosial turut membantu wartawan untuk mengetahui lebih banyak mengenai sasaran pembaca mereka malah mendekati golongan yang tidak boleh didekati sebelum ini.

"Sementara terdapat banyak sumber maklumat sekarang, wartawan kini perlu memperoleh maklumat lebih cepat daripada sebelum ini. Pelbagai sumber membantu mereka untuk mengumpul lebih banyak maklumat dan kadangkala bahan yang lebih baik dan mereka boleh memperoleh pelbagai suara, idea dan saksi dengan segera.

"Wartawan zaman moden tidak boleh lalai walaupun buat seketika kerana bimbangkan kehilangan maklumat penting," katanya kepada Bernama pada Sidang Kemuncak Bloger dan Media Sosial Sedunia di sini hari ini.

Persidangan itu diadakan sempena Minggu Media Sosial malaysia 2015 dari 21 hingga 25 April.

Mengenai pemberitaan awal media sosial dan bagaimana ia mengurangkan peranan media arus perdana, Rajesh tidak menafikan perkara itu namun berkata adalah penting media arus perdana terus memainkan peranan mereka seperti sebelum ini.

"Cabaran besar media arus perdana kini ialah media sosial mampu berkongsi maklumat dengan tangkas dan cepat. Selain itu, maklumat berlebihan turut menjadi antara cabaran media arus perdana masa kini.

"Namun kebenaran dan ketepatan maklumat mesti didahulukan. Orang ramai mesti dapat menapis maklumat yang mereka peroleh kerana terdapat banyak fiksyen dalam media sosial," katanya.

Beliau turut berkata kesahihan maklumat dalam media sosial tidak boleh diambil mudah.

Oleh itu orang ramai mesti berhati-hati apabila menerima atau berkongsi sebarang maklumat daripada media sosial dan perlu memastikan ia adalah benar dan bukan palsu, katanya.

"Apa yang boleh saya katakan ialah media sosial bukan sahaja merubah cara berita itu diterima tetapi juga bagaimana pertubuhan berita membuat liputan konflik di mana mereka perlu sentiasa berhati-hati dan bersedia," tambahnya.

Sementara itu Pengarang Kanan Media Baharu Utusan Malaysia, Gamal Nasir Mohd Ali berkata media arus perdana perlu menerima hakikat bahawa setiap berita kini tersebar pantas melalui media sosial yang langsung tidak melalui sebarang proses penyuntingan sebelum disiarkan.

"Berita kini tidak lagi dibaca pada keesokan hari. Media sosial bergerak pantas dan mempunyai ramai pengikut," katanya.

Bagaimanapun, Gamal Nasir berkata media arus perdana tidak perlu menganggap ianya sebagai saingan memandangkan media arus perdana menyampaikan informasi tepat dan sahih dengan membawa nama organisasi masing-masing yang telah dikenali masyarakat.

Katanya perkembangan teknologi pada masa kini turut memberi peluang kepada media arus perdana untuk menyebarkan berita melalui saluran media sosial menggunakan nama organisasi masing-masing.