KOTA BHARU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertindak lebih tegas terhadap penyebaran fitnah termasuk di media sosial terutamanya ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata bagi mengekang perkara berkenaan pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial termasuk Telegram dan TikTok.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan TikTok pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini selain pertemuan dengan pihak Telegram baru-baru ini (19 Jun). Alhamdulillah kerjasama dengan penyedia perkhidmatan media sosial setakat ini sangat baik.

"Selain itu, kita juga melihat ada keperluan untuk melakukan pertemuan dengan Meta. Kerjasama yang baik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC serta penyedia platform perkhidmatan media sosial amat penting bukan sahaja untuk mengekang fitnah tetapi untuk memastikan ia tidak disalah guna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Pra Pelancaran Komuniti MADANI Peringkat Negeri Kelantan di Dewan WAWA, Jalan Kelonchor di sini semalam yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Hadir sama Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihaknya juga melihat terdapat keperluan untuk meneliti terhadap pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia agar MCMC mempunyai lebih kuasa terhadap isu berkaitan.

Katanya, keperluan pindaan akta itu juga untuk memastikan tidak berlaku provokasi atau fitnah membabitkan elemen 3R (Race, Religion, Royalty) selain tidak mempolitikkan agama atau memperolokkan institusi raja-raja.

"Kita lihat fitnah serta maklumat yang salah ini akan membina persepsi buruk selain tohmahan terutama membabitkan elemen 3R perlu dikekang. Selain menangani fitnah, perkara ini juga (pindaan akta) perlu untuk mengekang salah guna jenayah siber.

"Oleh itu, kita melihat ada keperluan untuk ia dipinda dan diperkukuhkan. Saya berharap perkara ini (pindaan akta) dapat dilakukan menjelang hujung tahun ini agar perkara yang berlaku sebelum ini tidak berulang," katanya.

-- BERNAMA