Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said membidas dakwaan Pas bahawa projek pembinaan pangsapuri rakyat di Kampung Lay Out Tok Saboh itu didirikan di atas tanah yang diambil daripada penduduk semasa kerajaan Barisan Nasional mengambil alih pentadbiran negeri dari Pas pada 2004.

“Ini suatu dakwaan yang tidak betul. Kerajaan Pas pada masa pentadbiran mereka pada 1999 telah mengagihkan semua tanah dengan mengeluarkan borangnya sendiri tanpa melalui pejabat tanah dan mereka sendiri mengutip duit untuk membayar upah ukur tanah,” katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis pecah tanah SMK Alor Peroi petang tadi.

Menurutnya, kerajaan ada peraturan terhadap setiap pemohon tanah di negeri ini.

“Setiap pemohon tanah mesti melalui jadual yang dipanggil Jadual 1 dalam permohonan tanah dimana permohonan akan dihantar ke pejabat tanah bersama pelan tanah dan sebagainya dimana permohonan akan diproses,” kata Ahmad.

Beliau menambah, jikalau pemohon membayar mesti ada ketentuan resit dan jika tanah yang dipohon tidak menjadi hak pemohon, dia akan dibayar balik.

“Namun, polisi Pas adalah duit pembayaran kepada tanah itu diambil dan diberi kepada tukang ukur namun tidak diketahui tanah yang mana satu yang dipohon. Borang permohonan tidak pernah diisi,” katanya lagi.

Ahmad menambah tanah yang menjadi pertikaian itu adalah tanah kerajaan jadi parti yang memerintah negeri ketika itu tiada hak untuk mengambil tanah itu kerana pentadbir tanah iatu Pejabat Tanah yang berkuasa.

“Apa yang dilakukan oleh Pas ialah memberi tanah, melantik tukang ukur, dan kutip antara RM500 dan RM1000 seorang (pemohon) tanpa mengisi sebarang borang, dankerja ukur bila dibuat, kita takkan tahu mana tanahnya. Sekarang dia nak dakwa kita merampas tanah rakyat pula. Selagi geran tidak diberi tanah yang dipohon masih lagi milik kerajaan,” katanya lagi.

Pangsapuri empat tingkat sebanyak 72 unit itu dibina melibatkan kos lebih RM10 juta itu di kawasan seluas 720 kaki persegi di atas tanah milik kerajaan di Kampung Lay Out Tok Saboh.

Ianya akan dijadikan sebagai penempatan semula penduduk Kampung Pengkalan Atap yang terjejas akibat kejadian hakisan tanah dan ombak besar.