Mayat tiga lelaki yang hilang selepas terjun ke dalam Sungai Tengi, Tanjong Karang sejak petang semalam akhirnya berjaya ditemui pagi tadi.

Mayat mereka ditemui berhampiran kawasan nelayan di Jeti Bagan Pasir, Tanjong Karang sekitar jam 11 malam tadi hingga 5 pagi tadi.

Mereka sebelum itu dipercayai cuba melarikan diri daripada anggota polis yang sedang membuat serbuan berdekatan jeti terbabit.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 petang ketika sepasukan anggota polis sedang membuat serbuan di kawasan penagihan dadah di situ.

Beberapa lelaki lain berjaya ditahan dalam serbuan terbabit.

Sedar tentang tindakan mereka, pihak polis kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang pada jam 3.13 petang bagi mendapatkan bantuan menjejaki mereka.

Mayat salah seorang mangsa berjaya ditemui kira-kira 100 meter dari tempat mereka dipercayai lemas kira-kira jam 11.20 malam tadi.

Manakala mangsa kedua ditemui jam 2.35 pagi dan mangsa ketiga 4.23 pagi tadi juga di kawasan sekitar 100 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.