SEREMBAN: Mayat seorang lelaki disyaki dibunuh ditemukan di dalam parit di Pekan Lama Nilai dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan penemuan mayat yang dipercayai warga asing berusia pertengahan 30-an itu kira-kira 12.25 tengah hari.

"Mangsa berkulit cerah, berambut pendek, bertubuh sederhana dan berketinggian kira-kira 165 sentimeter dan ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian, dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

"Pemeriksaan pada mayat mendapati terdapat kesan luka tumpul di kepala serta beberapa bahagian badan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Abdul Malik turut memohon bantuan orang awam untuk memberikan maklumat bagi mengesan individu terlibat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes DSP Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-8005225 atau mana-mana balai berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA