Mayat lelaki Singapura dikhuatiri lemas ditemui

Siti Nur Aqilla Omar
Disember 28, 2023 10:10 MYT
Anggota bomba membawa naik mayat mangsa yang ditemui orang awam untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto JBPM
KOTA TINGGI: Mayat seorang lelaki warga Singapura yang dikhuatiri lemas ketika sedang beriadah di pantai hotel terkemuka Desaru, ditemui petang Rabu.
Mayat lelaki berusia 49 tahun ditemui orang awam kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, Masri Ibrahim berkata, selepas mendapat maklumat penemuan mayat mangsa di pantai Desaru Coast Pasukan Bertindak Operasi (PKO) segera ke lokasi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ketika beriadah di gigi air bersama anaknya.
Anaknya berusia 16 tahun berjaya diselamatkan orang awam dan kini menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, Johor.
#lemas #warga singapura #beriadah #mayat
;