LABUAN:Mayat seorang lelaki yang tidak dikenali ditemukan terapung di laut di luar Pulau Rusukan Kecil, kira-kira dua batu nautika dari jeti Labuan pada pagi Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan DSP Mohd Ibrahim Ghani berkata mereka menerima laporan mengenai penemuan itu daripada orang awam kira-kira 10.30 pagi.

"Pasukan polis marin bersama-sama petugas kesihatan kemudiannya mengambil mayat yang berpakaian lengkap itu sebelum dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat," katanya malam ini.

Ibrahim berkata mayat itu tidak mempunyai tanda kecederaan.

"Oleh kerana tidak ada pengenalan diri, kami meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga agar membuat laporan di balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA