Mayat tanpa identiti itu dijumpai seorang penduduk ketika sedang mencari kayu di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 3.20 petang.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat terbabit.
Menurutnya, mayat berkenaan ditemui saksi selepas terhidu bau busuk dari kawasan belukar ketika mencari kayu untuk dibuat bubu.
Dia kemudiannya menghubungi pihak polis dan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.
Jelas Maizura, pihaknya percaya mangsa sudah meninggal dunia lebih tujuh hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada mayat tersebut.
Maizura berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun menjalankan operasi membawa keluar mayat yang berada kira-kira empat meter dari tebing, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, lokasi penemuan mayat terletak di atas bukit serta jauh dari laluan utama.
Mayat terbabit kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun dan pemeriksaan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti identitinya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.