Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menafikan laporan media berhubung penglibatan suruhanjaya itu dalam menguji pesawat peninjau DA42M-NG Diamond berharga RM35 juta bagi kegunaan Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
"Mavcom tidak mempunyai sebarang komunikasi dengan Jabatan Hutan Sarawak dan tidak bertanggungjawab terhadap ujian teknikal pesawat seperti dinyatakan dalam laporan berita itu.
"Mavcom adalah badan bebas yang mengawal selia urusan ekonomi dan komersil berkaitan dengan penerbangan awam," menurut kenyataan suruhanjaya itu hari ini.
Suruhanjaya itu berkata demikian ketika merujuk kepada laporan portal berita Dayak Daily semalam yang memetik Pemangku Pengarah JHS, Hamden Mohammad antara lain berkata pesawat tersebut sedang duji oleh Mavcom sejajar dengan prosedur operasi standard.
"Kami ingin tegaskan bahawa ini tidak benar sama sekali. Peraturan teknikal bagi industri penerbangan am tertakluk di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 dan ia tidak termasuk dalam bidang kuasa Mavcom," menurut kenyataan itu.
Ia berkata matlamat Mavcom adalah untuk mempromosikan industri penerbangan yang berdaya maju berorientasikan pengguna dan berdaya tahan dalam industri yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Susulan artikel bertajuk "Forest Department Sarawak will be able to fly soon" dalam portal itu, Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How semalam membuat laporan polis terhadap JHS berhubung harga pembelian pesawat itu yang didakwa terlalu tinggi.
Pesawat dua tempat duduk itu, yang boleh dikendalikan tanpa juruterbang secara kawalan jauh, dikeluarkan firma aeroangkasa Austria, Diamond Aircraft Industries, berpangkalan di Vienna.
Chee How mendakwa harga pesawat ringan tersebut untuk operasi pengawasan hutan di negeri itu sepatutnya dalam lingkungan RM3.5 juta hingga RM5 juta.
DI KUCHING, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri, Datuk Len Talif Salleh menjelaskan bahawa RM35 juta yang dibelanjakan JHS bukan semata-mata untuk pembelian pesawat tersebut tetapi adalah jumlah keseluruhan projek.
Beliau berkata kos RM35 juta itu meliputi pembelian pesawat, peralatan khas, alat ganti, jaminan, sokongan teknikal, latihan dan pelaksanaan projek selama lima tahun.
Chee How juga memaklumkan mahu membuat laporan yang sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin ini..
Dalam kenyataan hari ini, Len juga menjelaskan bahawa kos pembelian RM35 juta itu tidak ditanggung oleh kerajaan negeri Sarawak tetapi sebaliknya oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MNRE).
Cadangan perolehan teknologi itu, katanya, telah dikemukakan oleh JHS kepada MNRE di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan proses perolehannya telah diluluskan Kementerian Kewangan dan Kabinet persekutuan tahun lepas.
Menurutnya, JHS menjadi agensi pelaksana projek kerana mereka mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk mengendalikan sistem tersebut dan jabatan itu akan berkongsi kepakaran dan perkhidmatannya kepada semua agensi kerajaan lain yang memerlukannya di seluruh negara.
Beliau berkata projek itu juga bukanlah berasaskan keuntungan tetapi untuk penyelidikan, pengurusan dan pemantauan sumber hutan dan alam semula jadi.
"Memandangkan Chee How telah membuat laporan polis dan akan membuat laporan kepada SPRM, kami akan menyerahkan kepada pihak berkuasa terbabit untuk menjalankan siasatan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Jun 10 2018

Matlamat Mavcom adalah untuk mempromosikan industri penerbangan yang berdaya maju berorientasikan pengguna dan berdaya tahan dalam industri yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Chong Wei sedia kongsi komitmen sebagai duta sukan Johor
Datuk Lee Chong Wei bersedia memikul tanggungjawab sebagai penasihat badminton dan duta sukan Johor seperti diumum Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tiada bukti kaitkan bekas pakar patologi dengan pembunuhan Kevin Morais - Peguam
Mahkamah Persekutuan diberitahu tiada bukti yang mengaitkan Kolonel Dr R. Kunaseegaran dengan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.

Pemastautin sementara dalang palsu MyKad - Saifuddin
Seorang pemastautin sementara dipenjara kerana didapati menjadi dalang aktiviti pemalsuan kad pengenalan (MyKad) di ibu negara.
Vietnam seru negara anggota perkukuh ekonomi
ASEAN perlu memastikan kebergantungan strategik dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran yang semakin berkembang pesat di tengah persaingan strategik.
Vietnam cadang lanjut cuti bersalin ke 7 bulan
Vietnam bercadang membenarkan pekerja wanita melanjutkan cuti bersalin daripada enam bulan kepada tujuh bulan apabila melahirkan anak kedua.
VinFast rancang bina 100,000 stesen pengecas EV di Indonesia
VinFast merancang membina 100,000 stesen pengecas kenderaan elektrik atau EV di seluruh Indonesia yang boleh digunakan orang awam.
Singapura-Vietnam bentuk perkongsian strategik komprehensif
Perkongsian strategik komprehensif ini akan memacu perkembangan didorong oleh inovasi serta pertumbuhan hijau di Singapura dan Vietnam.
Rundingan sempadan maritim dan darat terima kerjasama baik
Kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai isu penting dalam hubungan dua hala antara malaysia dan Indonesia.

Stesen Jana Kuasa Pulau Indah telah beroperasi, jana RM1.6 bilion tahun hadapan
Stesen jana kuasa Pulau Indah (PIPP) di Klang yang dibina empat tahun lepas telah beroperasi secara komersial bermula 1 Mac lepas.
Menara loceng Romanesque terbesar siap selepas 15 tahun
Thailand mempersembahkan menara loceng Romanesque terbesar dunia setinggi tiga tingkat di bandar Wat Ban Dong Yai.

Mavcom nafi uji pesawat peninjau JHS
Mavcom tidak mempunyai sebarang komunikasi dengan Jabatan Hutan Sarawak dan tidak bertanggungjawab terhadap ujian teknikal pesawat seperti dinyatakan dalam laporan berita itu.