Demikian kata abang sulung kepada juruteknik, Khairul Nizam Jaafar, 41, yang maut selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan Eagle’s Nest Skywalk di Gunung Machinchang di Langkawi pada Khamis.
Khairil Ajhar Jaafar, 47, berkata, dia mengetahui kejadian itu daripada ibunya, Kasyah Hashim, 72, yang memaklumkan adik ketiga daripada empat beradik itu terjatuh semasa bekerja.
“Saya dapat tahu tentang kejadian dia jatuh pada jam 2 petang semalam selepas dihubungi oleh ibu, saya ingat jatuh biasa sahaja tapi tak sangka arwah jatuh dari ketinggian yang tinggi.
“Arwah antara adik-beradik yang jenis ringan tulang dan antara yang ramah dalam keluarga kami. Pemergiannya memang mengejutkan kami," katanya semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah dekat sini pada Jumaat.
Jelas Khairil Ajhar yang bekerja sebagai jurugambar bebas, kali terakhir Khairul Nizam berinteraksi bersama ahli keluarga menerusi kumpulan Whatsapp keluarganya semasa meraikan hari jadi salah seorang ahli keluarga mereka pada minggu lepas.
Jelasnya, arwah adiknya itu juga merupakan seorang peminat setia pasukan bola sepak Kedah dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa Hijau Kuning biarpun sibuk bekerja di Langkawi.
“Dia memang peminat Hijau Kuning dan bila datang ke Alor Setar akan hadir ke Stadium Darul Aman. Disebabkan rapat dengan komuniti penyokong bola sepak Kedah, arwah juga mengenali pemain, bekas pemain termasuk bekas jurulatih Kedah, Allahyarham Azraai Khor Abdullah,” ujarnya.
Khairul Nizam meninggalkan seorang isteri, Zunirah Othman, 36, dan tiga orang anak berusia 10, 16 dan 17 tahun.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Rafeah Taman Uda, dekat sini selepas selesai urusan bedah siasat.
Sebelum ini dilaporkan seorang juruteknik yang terjatuh semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan Eagle’s Nest Skywalk di Gunung Machinchang, dekat sini meninggal dunia pada Khamis.
Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari besi penahan dek kaca pada ketinggian lebih kurang 40 meter ke tebing gunung. -- Sinar Harian