KUALA LUMPUR: Matlamat dan tujuan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan tersasar jika masih wujud ketirisan dan pembaziran dalam negara ini.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, RMK-12 merupakan perancangan yang sangat penting kerana melibatkan pembangunan negara dalam tempoh lima tahun.

“Ini akan memberi impak besar kepada kepentingan negara kita yang tentunya melibatkan setiap lapisan masyarakat dalam negara.

“Semua itu tentu tidak berjaya sekiranya masih ada lagi amalan yang tidak baik, tidak menjurus kepada kejayaan dan mengakibatkan ketirisan, pembaziran yang begitu besar di mana tujuan atau matlamat dasar-dasar ini akan tersasar.

“Jadi itu sebabnya kita anggap sangat penting penekanan terhadap usaha untuk membasmi negara ini daripada gejala seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup program Pejuang Muda Virtual Hunt: Rasuah Musuh Negara secara dalam talian pada Ahad.

Turut sama dalam program berkenaan adalah Ketua Pemuda Pejuang, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, berkata iltizam dan komitmen di kalangan anak-anak muda turut memainkan peranan penting dalam memerangi gejala rasuah.

“Saya sangat senang hati apabila melihat ramai anak muda yang begitu kuat idealisme mahu negara yang baik untuk diwarisi dan mengenal pasti bahawa gejala rasuah perlu dibanteras.

“Jadi apa yang kami hendak lakukan ini semata-mata untuk diwarisi kepada anak muda, tidak bermasalah, jelas hala tujunya, tidak membazir wang, tiada ketirisan, mempunyai satu visi jelas dan akhirnya membuahkan hasil untuk kita semua,” ujarnya.