Ringkasan AI
- Pengiktirafan TVET: MATEPM mengiktiraf pencapaian individu cemerlang dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
- Komitmen Kerajaan: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menegaskan komitmen kerajaan dalam memperluas pelaksanaan pertandingan kemahiran di bawah Dasar TVET Negara 2030.
- Pemenang Anugerah: Anugerah WSMB diberikan kepada Misto Mikin dari IKM Kota Kinabalu, manakala Muhammad Muhyiddin Mohamad Ibrahim dari KKTM Ledang memenangi kategori WSMP. Anugerah Tokoh Mahir dirangkul oleh Datuk Seri P. Ganes dari SG Education Group.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan komitmen kerajaan dalam memperluas pelaksanaan pertandingan kemahiran di bawah Dasar TVET Negara 2030 melalui usaha berterusan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya.
“Saya ingin menyeru agar agensi-agensi TVET dapat menganjurkan pertandingan kemahiran di peringkat institusi masing-masing agar kita dapat memilih bakat terbaik untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada MATEPM 2024 di sini.
MATEPM merupakan acara tahunan yang memberi pengiktirafan tertinggi kepada individu cemerlang dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP).
Anugerah WSMB telah disampaikan kepada pelajar Sijil Teknologi Kejuruteraan Bangunan dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, Misto Mikin yang menunjukkan kecemerlangan dalam kemahiran penurapan bata.
“Pada mulanya, saya terjun dalam bidang ini atas saranan cikgu saya. Bermula di Giat MARA dan seterusnya di IKM Kota Kinabalu, saya tidak sangka usaha saya selama ini dapat membawa kepada kemenangan ini,” kata Misto yang penuh bersyukur dengan pencapaiannya.
Sementara itu, pengajar bidang elektronik dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Muhammad Muhyiddin Mohamad Ibrahim meraih kemenangan dalam kategori WSMP.
“Saya berharap dengan anugerah ini, saya dapat menyumbang lebih banyak ilmu dan pengalaman sebagai tenaga pengajar kepada pelajar-pelajar TVET dalam bidang elektronik,” ujarnya.
Anugerah Tokoh Mahir pada tahun ini pula dirangkul oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group, Datuk Seri P. Ganes atas sumbangannya dalam memperkasakan sistem pensijilan kemahiran negara.
“Pada awalnya, saya mengenal pasti bukan sahaja bidang asas yang memerlukan kemahiran, tetapi juga bidang berimpak tinggi yang turut memerlukan kemahiran tinggi. Industri memerlukan lebih ramai tenaga pekerja mahir yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan, tetapi pendapatan yang tinggi,” jelas Ganes mengenai usaha beliau.
Selain daripada pertandingan utama, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut menganjurkan pertandingan lain seperti JuniorSkills Malaysia (JSM) dan WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC).
Pertandingan yang berlangsung sejak Mei hingga Oktober 2024 itu melibatkan lebih daripada 1,500 peserta dalam kategori belia, pengajar, dan junior.