Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tidak dapat menghadiri majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-59 yang dijadualkan pagi ini kerana perlu ke mahkamah untuk berdepan kes saman Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar terhadap beliau.

"Peguam saya Hanipa Maidin cuba minta supaya kes ini ditangguhkan kerana perasmian muktamar tetapi peguam Wan Ahmad tetap mahu saya hadir ke mahkamah," katanya kepada Astro AWANI.

Mohamad berdepan saman fitnah yang difailkan Wan Ahmad pada 5 Mac lepas atas dakwaan mengeluarkan kata-kata fitnah di dalam artikel 'Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai' dan 'Ragu Peranan SPR-Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan' yang telah diterbitkan oleh akhbar Harakah edisi Jumaat 1-3 Feb 2013 selepas ditemu ramah oleh penulis artikel itu pada 29 Jan lepas.

Wan Ahmad mendakwa reputasinya terjejas akibat penyiaran artikel yang didakwanya mengandungi kata-kata fitnah itu.

Selain berdepan kes di mahkamah, Mohamad juga menghadapi cabaran untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Mohamad ditentang Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.