SHAH ALAM: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyelar tindakan sebahagian besar negara Arab yang meneruskan hubungan diplomatik dan masih aktif berdagang dengan Israel.

Menurutnya, tindakan negara itu menunjukkan seolah-olah mereka tidak mempunyai belas kasihan terhadap keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis kepada rakyat Palestin.

“Negara-negara Arab dan negara Islam di rantau tersebut masih mengekalkan hubungan diplomatik dan membekalkan minyak, gas serta bekalan makanan setiap hari kepada rejim Israel.

“Inilah nasib malang menimpa umat Islam hari ini kerana mereka sendiri tidak diasuh untuk memahami hak asasi manusia, hak kanak-kanak dan wanita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.


Tambah beliau, tindakan Israel melanggar kesemua tatacara peperangan dalam undang-undang antarabangsa telah menjadi fokus kritikan sebahagian besar negara dan masyarakat di Eropah.

Ujarnya, kini hanya beberapa negara Arab sahaja yang berani untuk mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan rejim Zionis seperti Iraq, Lubnan, Syria dan Algeria.

“Negara-negara di Amerika Latin dan Afrika juga mengkritik dan memutuskan hubungan dengan Israel serta menghalau duta Israel di negara mereka.

“Begitu juga dengan kerajaan Ireland dan ahli Parlimennya yang berucap di Parlimen Eropah telah mengkritik keras tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel terhadap penduduk Gaza,” ujarnya.

Sebelum ini, mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali ke-8 telah diadakan di Riyadh, Arab Saudi untuk membincangkan isu-isu berkaitan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Bagaimanapun, sasaran akhir sidang kemuncak tidak juga berjaya dicapai apabila ada segelintir negara Arab menolak mentah usul-usul yang dibawa antaranya mencegah penggunaan pangkalan ketenteraan Amerika Syarikat dan negara-negara Arab lain untuk masuk ke negara haram Israel serta membekukan hubungan diplomatk dengan Israel. - Sinar Harian