Masyarakat Iban di Kuching digesa mengikuti arahan kerajaan, bagi memastikan sambutan perayaan Gawai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, berlangsung dengan selamat.

Ketua Masyarakat Iban di Kuching Temenggong Datuk Bernard Aggan, meminta semua pemimpin masyarakat Iban menjelaskan semua peraturan yang ditetapkan kerajaan kepada masyarakat, yang berada di bawah bidang kuasa mereka.

"Kita perlu sangat berhati-hati ketika merayakan Gawai kali ini, kerana bimbang adanya risiko penularan jangkitan penyakit COVID-19 di antara kita. Penyakit yang ditakuti masih ada di sekitar kita. Kita sedang dalam pertempuran, jadi kita mesti mengikuti semua nasihat dan strategi untuk menang," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Aggan berkata, beliau menyokong penuh nasihat yang diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengenai bagaimana mereka harus meraikan Gawai dalam tempoh yang sangat sukar ini.

"Datuk Amar (Douglas Uggah) kemarin mengatakan bahawa tidak boleh ada 'ngabang' atau rumah terbuka. Tetapi kita hanya boleh membenarkan ahli keluarga terdekat datang.

"Dalam kunjungan oleh saudara terdekat (pula), saya bersetuju bahawa kita harus mengehadkan jumlahnya kepada 20 orang dan hanya pada hari pertama, tetapi kerana rumah-rumah bandar kita yang biasa mungkin tidak dapat menampung 20 orang yang datang pada waktu yang sama, saya mencadangkan mereka untuk datang dalam dua kumpulan yang terdiri daripada 10 orang masing-masing," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pemimpin perlu untuk memberitahu rakyatnya, agar tidak mengadakan perjumpaan atau majlis yang akan menarik orang ramai.

Katanya, sambutan Gawai masih boleh dinikmati dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan walaupun hanya dirai dalam kalangan ahli keluarga sendiri, tanpa adanya perjumpaan besar-besaran.

"Orang yang dijangkiti tetapi tiada simptom dengan mudah dapat menyebarkan penyakit COVID-19 dalam situasi seperti ini. Saya ingin mengingatkan semua orang untuk mengekalkan amalan kebersihan diri yang tinggi," tambahnya.

-- BERNAMA