Permintaan yang meningkat di Myanmar sejak akhir-akhir ini telah menyakinkan MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) mengenai daya maju untuk menggunakan pesawat pengangkut ke negara itu.

Penerbangan sulung pesawat pengangkut MASkargo ke Myanmar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon (RGN) Sabtu lepas dengan membawa 60 tan muatan untuk negara tersebut.

Dalam satu kenyataan, MASkargo berkata MH6062 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) ke RGN sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok (BKK).

Ketua Pegawai Komersial MASkargo, Mark Jason Thomas berkata MASkargo telah memberi perkhidmatannya ke negara tersebut selama bertahun-tahun menggunakan pesawat penumpang dan berikutan permintaan yang meningkat, mereka kini menggunakan pesawat pengangkut.

"Dari Yangon, pesawat pengangkut itu seterusnya ke Bangkok, satu lagi pasaran yang mencatatkan aliran menaik baru-baru ini," katanya.

Perkhidmatan mingguan itu melakukan penerbangan ke KUL-RGN-BKK-KUL setiap hari Sabtu bermula 4 Julai lepas.

-- BERNAMA