Ahli Parlimen Segambut merangkap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut menghadiri majlis itu berkata, program seperti itu memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan serta kefahaman antara komuniti yang berlainan budaya dan agama.
"Inisiatif seperti ini amat penting dalam menyemai keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, membolehkan kita hidup bersama dengan aman dan saling menghormati," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menjelaskan, komuniti TTDI mencerminkan semangat Malaysia yang berbilang kaum, yang juga dapat dilihat melalui penamaan jalan-jalan di kawasan tersebut berdasarkan tokoh-tokoh terkemuka daripada pelbagai latar belakang seperti Jalan Burhanuddin Helmi, Jalan Athinahapan, Jalan Rahim Kajai, Jalan Leong Yew Koh dan Jalan Abang Haji Openg.
Hannah juga menyatakan penghargaan kepada Masjid At-Taqwa, kerana menganjurkan acara tahunan yang menggalakkan keterangkuman serta penyertaan daripada semua lapisan masyarakat, sekali gus menjadi contoh positif kepada perpaduan nasional.
"Terima kasih kepada Masjid At-Taqwa kerana menjadi model kepada komuniti yang bersatu padu serta komitmen yang berterusan dalam memupuk keterangkuman dan keharmonian melalui program seperti ini," katanya.
Majlis iftar tersebut turut dihadiri pemimpin tempatan, ahli jawatankuasa masjid serta penduduk TTDI.
-- BERNAMA
