Melihat kepada jumlah mereka yang ramai, buat tahun ketiga masjid berkenaan memberi peluang kepada komuniti warga asing beragama Islam yang tinggal di Flat Taman Semarak untuk mengadakan majlis berbuka puasa.
Menariknya, mereka yang majoritinya warga Bangladesh mengumpul dana sendiri untuk menyediakan juadah berbuka puasa yang dimasak secara bergotong-royong untuk dijamu kepada kira-kira 500 jemaah termasuk warga tempatan.
Jika sebelum ini hanya pada hari Ahad dibenarkan, tetapi kini ditambah kepada Sabtu.
Menurut pengerusi masjid, Md Fakarudin Ab Rahman, kebenaran itu bukan bermaksud pihaknya membenarkan warga asing berbuat sesuka hati.
"Jadi tiada istilah mereka ambil alih masjid kerana semuanya dalam kawalan kita dan mereka juga ikut setiap peraturan serta prosedur yang kita tetapkan terutama membabitkan soal kebersihan.
"Niat mereka baik nak mengimarahkan serta meramaikan masjid, sepatutnya kita raikan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Berkenaan juadah yang disediakan, kata Md Fakarudin, mereka perlulah memasak dan menyediakannya di masjid, bukannya dibawa dari rumah.
Ini kerana ujarnya, ia bagi memudahkan pihak masjid membuat pemantauan.
"Biasalah kita agak skeptikal terhadap warga asing yang dilihat kurang mementingkan aspek kebersihan, jadi sebab itu kita tak benarkan mereka masak dari rumah.
"Tapi sebenarnya sejak kita dekati mereka, kita nampak yang mereka mula memahami budaya hidup orang kita yang mementingkan kebersihan dan nampaknya mereka boleh ikut, tiada lagi bau kurang menyenangkan," katanya.
Tambahnya, pada awal ia diadakan, hanya kira-kira 300 ke 400 orang menyertai majlis berbuka puasa tersebut, tetapi kini 500 orang dan dijangka terus meningkat.
Sementara itu, penduduk tempatan, Romli Wahab, 54, yang turut serta berbuka puasa berterima kasih kepada warga asing di situ yang sentiasa mengimarahkan masjid.
Malah katanya, mereka juga menghormati penduduk tempatan dan tidak lokek membantu sekiranya diperlukan.
"Masa mula-mula dulu memang saya rasa tak boleh duduk sekali dengan mereka berbuka puasa, tapi bila tengok bagaimana proses penyediaan makanan, saya baru yakin dan kini dah biasa," katanya.
Ketua komuniti Bangladesh kawasan itu, Hafizul Rahman Asynur, 37, pula berkata, peluang diberi oleh pihak masjid untuk komunitinya mengadakan majlis berbuka puasa disifatkan sesuatu yang istimewa.
"Jika tahun lalu pihak masjid benarkan kami buat majlis berbuka sehari saja, tapi kali ini dua hari. Kami sangat-sangat berterima kasih atas peluang ini.
"Untuk majlis hari ini (Ahad), kami masak sebanyak 80 kilogram (kg) daging, 10 kg ayam dan 50 kg beras. Persediaan itu dibuat selepas solat Zohor dengan kos keseluruhan lebih RM3,000," katanya. - Sinar Harian