KUALA LUMPUR: Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia disaran untuk lebih menyelami kekangan segelintir rakyat Malaysia, sehingga mereka mempunyai masalah kemahiran literasi – membaca, menulis dan mengira.

Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis dalam jurusan Psikologi, Syamim Hashim berkata, keadaan itu lebih buruk jika ia terjadi dalam kalangan kanak-kanak dari golongan keluarga B40.

Sukarelawan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Untuk Malaysia untuk Projek Selamatkan Murid Cicir itu berkata, tiada istilah bahawa murid-murid yang susah itu hanya sekadar kanak-kanak, kerana mereka merupakan masa depan negara.



“(Masalah ini) bermula dengan beberapa skala seperti individu, keluarga, masyarakat, dan kerajaan. Kita juga faham perubahan di peringkat kerajaan, nak suruh buat apa-apa perubahan akan mengambil masa dan melibatkan banyak pihak. Tidak libat satu kementerian saja. Contoh murid tak ada dokumen untuk daftar di sekolah, melibatkan jabatan lain.

“Jadi perlukan cerita sebenar daripada murid itu sendiri, keluarga itu sendiri. Dengar kisah murid tu juga. Kita rasa mereka kecil lagi, tak tahu apa-apa, sedangkan mereka juga perlu harapan, punya cita-cita mereka,” katanya lagi.

Sempena Hari Literasi Antarabangsa pada Khamis (8 September), NGO Untuk Malaysia dalam satu kenyataan mendedahkan 1.6 juta atau 5 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai kemahiran literasi - membaca, menulis dan mengira.

NGO itu berkata masalah literasi sejak kecil boleh mengakibatkan kelompok kanak-kanak dalam kumpulan tersebut menghadapi kesukaran untuk menyambung pelajaran, serta mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan yang selesa.

“Adakah kita sekadar mahu menunggu kerajaan menanganinya, atau kita mahu menjadi masyarakat terkedepan, bertindak terus demi masa depan anak-anak kita.

“Moga kita semua akan terus kuat dan bersatu demi memastikan anak-anak kita mendapatkan hak mereka untuk belajar dengan lebih baik. Ubah pendidikan, ubah masa depan!” menurut kenyataan itu lagi.

Mengulas lanjut, Syamim berkata, pengalaman dia bersama golongan murid-murid yang tercicir itu, memperlihatkan kesungguhan mereka, baik ibu-bapa mahupun anak-anak itu sendiri untuk tidak mengabaikan pelajaran.

Namun, tegasnya lagi, setiap isu di sebalik keciciran murid-murid dan keluarga B40 itu tidak boleh dipukul rata, atau dianggap semuanya mempunyai masalah yang sama.

“Yang saya boleh katakan, mengikut cerita keluarga murid-murid itu, perlu orang yang mempunyai autoriti dari semua pihak, turun dan dengar kisah mereka ini, sebab kadang-kadang pukul rata, anggap sama sahaja.

“Kalau kata tercicir tu sama je tercicir, tapi tercicir tu pun berbeza. Nak daftar sekolah pun berbeza-beza sebab, lambat kemajuan (literasi) berbeza sebab, lambat membaca pun berbeza sebab.

“Kalau ada pihak turun dan dengar, jadi mungkin untuk intervensi lebih untuk lebih memahami, serta merangka dasar yang bersesuaian untuk mengurangkan masalah murid keciciran, dan mempunyai masalah literasi,” katanya lagi.