Menurut beliau kaedah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia adalah tidak wajar kerana berpandukan kepada garisan kemiskinan yang tidak realistik (iaitu RM980 sebulan bagi satu keluarga yang mempunyai empat ahli).
Akibat dari penggunaan kaedah ini, kadar kemiskinan di Malaysia adalah hanya 0.4 peratus dan dengan itu memberikan gambaran bahawa Malaysia seolah-olah telah berjaya menghapuskan terus masalah kemiskinan sedangkan negara negara Eropah, Jepun dan Amerika masih terbelenggu dengan masalah kemiskinan.
Sebenarnya situasi berbeza ini adalah akibat dari penggunaan kaedah pengiraan yang berbeza. Di negara lain, kaedah yang digunakan adalah `kemiskinan relatif’ (relative poverty) di mana sesuatu keluarga dikatakan miskin jika pendapatan adalah kurang dari jumlah 60 peratus dari pendapatan median di dalam negara tersebut.
Akibat menggunakan cara pengiraan ini, 17 peratus rakyat Amerika dilaporkan miskin. Di Jepun pula, angkanya ialah lebih kurang 16 peratus.
Sebenarnya jika kaedah pengiraan yang sama digunakan di Malaysia, lebih kurang 20 peratus rakyat Malaysia adalah miskin kerana 60% peratus dari pendapatan median (iaitu RM5,228 pada tahun 2016) adalah RM3,136. Sudah tentu ramai rakyat Malaysia berpendapatan bawah dari RM3,136.
VIDEO: Laporan PBB mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia di Malaysia
Sebenarnya kaedah yang digunakan sekarang di Malaysia di mana garis penentuan kemiskinan adalah sebanyak RM980 adalah langsung tidak munasabah terutama sekali bagi penduduk yang tinggal di kawasan bandar. Sebagai contoh kos sewa sebuah flet dua bilik di Seksyen 17 Petaling Jaya ialah lebih dari RM1,000 sebulan.
Ini belum lagi masuk kos makanan, pakaian dan pengangkutan. Adalah tidak masuk akal menyatakan bahawa keluarga yang berpendapatan atas dari RM980 sebulan adalah tidak lagi tergolong di dalam kategori miskin.
BACA: Merungkai kekeliruan kadar kemiskinan
Sudah sampai masanya kerajaan mengakui bahawa keadaan kemiskinan di negara kita sebenarnya amat tenat. Kerajaan juga perlu mengenal pasti apakah punca kepada masalah kemiskinan ini tanpa perlu menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lepas dalam hal ini. Ini kerana punca sebenar masalah ialah sistem ekonomi dan kewangan kita yang bertunjangkan kepada industri hutang atau amalan Riba.
Amalan sistem perbankan negara kita adalah sama dengan sistem perbankan di negara barat di mana bank akan sentiasa mencipta `wang baru’ apabila ia memberi hutang kepada pelanggannya. Industri perbankan sebenarnya tidak memerlukan kepada deposit dari mana-mana pihak untuk ia memberi hutang kepada pelanggannya.
Bahkan hutang yang diberikan itu akan direkodkan sebagai deposit di dalam akaun peminjam untuk menunjukan situasi seolah-olah depositnya adalah tinggi dan bahawa deposit ini lah menjadi sumber dana untuk ia memberi hutang. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh The Bank of England dalam satu penerbitannya iaitu `The Bank of England Quarterly Bulletin; 2014’. Perkara ini juga boleh disahkan dengan melihat rekod perakaunan bank setiap kali pinjaman atau pembiayaan diberikan.
BACA: PBB sifatkan peratusan kemiskinan Malaysia tidak realistik
Akibat dari jumlah wang baru yang banyak diciptakan oleh sistem perbankan, maka kos barangan meningkat dengan cepat. Pada masa yang sama syarikat dan kerajaan yang juga banyak berhutang dengan sistem perbankan akan berusaha untuk memastikan upah atau gaji yang diberikan kepada pekerja adalah rendah.
Apabila kos barangan meningkat dengan cepat sedangkan gaji dan upah tidak meningkat pada kadar yang sama, maka timbullah masalah `kenaikan kos sara hidup’. Tidak hairanlah ramai dari rakyat Malaysia terjebak dengan masalah kemiskinan di mana pendapatan sebanyak RM3,000 adalah masih tidak mampu untuk menyara sebuah keluarga, terutama di bandar-bandar.
Sebenarnya jika industri hutang atau sistem perbankan kita terus berkembang maka masalah kemiskinan di negara kita bukan sahaja mustahil diselesaikan bahkan akan menjadi lebih teruk.
BACA: Daim pertikai laporan kemiskinan PBB
Namun untuk memastikan sektor perbankan tidak berkembang dengan cepat memerlukan perubahan nilai masyarakat supaya gaya hidup mereka akan tidak membuat mereka berhutang kepada industri perbankan untuk membeli kereta, rumah dan sebagainya. Perubahan nilai ini bukannya mustahil dilakukan.
Ia hanya perlu kepada kefahaman tentang bahaya industri hutang dan juga pandangan hidup (world view) yang menjadikan akhirat sebagai matlamat hidup sebenar dan bukan nya pemilikan harta di dunia.
Kita juga perlu memupuk nilai Islam yang tulen di mana amal soleh yang banyak serta akhlak yang baik adalah kayu ukur kejayaan seseorang individu atau masyarakat dan bukannya kekayaan material semata-mata.
* Prof Nazari Ismail ialah mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya. Beliau juga aktif menggerakkan usaha pemulauan dan sekatan (Boycott, Divestment, Sanctions – BDS) menentang kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat.
** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.