Penerbangan Malaysia (MAS) memulakan perkhidmatan ke pusat peranginan Krabi di selatan Thailand dengan penerbangan sulung menggunakan pesawat Boeing 737-800 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Naib Presiden Kanan Wilayahnya di Malaysia, Datuk Muzammil Mohamad berkata Krabi merupakan satu lagi destinasi percutian di Thailand yang paling disukai oleh rakyat Malaysia.

"Ia lebih mesra keluarga dan mudah untuk pelancong mendapat makanan 'halal', kata beliau kepada pemberita selepas upacara pelepasan ringkas penerbangan sulung ke Krabi pada pukul 2.55 petang di KLIA.

Penerbangan MAS empat kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Krabi itu akan berlepas dari KLIA pada setiap Isnin, Selasa, Jumaat dan Sabtu.

Penerbangan ke Krabi akan beroperasi dengan pesawat Boeing 737-800 berkonfigurasi dua kelas yang terdiri daripada 144 tempat duduk kelas ekonomi dan 16 tempat duduk kelas bisnes.

Muzammil berkata MAS menyasarkan untuk menambah kekerapan penerbangannya ke destinasi itu, Mac ini.

Beliau turut berkata MAS akan mengkaji menambah kekerapan penerbangan dari semasa ke semasa bagi destinasi domestik dan antarabangsa seperti Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Langkawi, Jakarta, Bangkok dan Phuket.

Sempena pelancaran destinasi baharu itu, MAS Golden Holidays, anak syarikat MAS, menawarkan pakej percutian santai dan kembara selama tiga hari dua malam harga RM950 seorang (twin sharing).

Tempat-tempat yang akan dilawati sepanjang hari antaranya ialah Teluk Phang Nga dan pulau James Bond, berkenu di Ao Thalen dan bersiar-siar di pasar malam termasuk makan malam.

Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang http://holiday.malaysiaairlines.com untuk tempahan atau menelefon 03-7863 4000 atau e-mel kepada goldenholidays@malaysiaairlines.com.