KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan RM101.9 juta nilai rampasan dan 1,200 tangkapan atas pelbagai kesalahan tahun lepas.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata kejayaan itu diperoleh hasil daripada 181,000 pemeriksaan dan 43,000 penggeledahan yang dilakukan menerusi operasi berterusan.

"Maritim telah diberi kepercayaan untuk menjaga perairan negara dan kita akan memastikan rakyat berasa selamat apabila berada di Zon Maritim Malaysia (ZMM) iaitu di Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

"Perairan kita ini memiliki banyak sumber penting seperti minyak, gas asli dan perikanan, justerudengan keberadaan kita melakukan rondaan setiap masa memberikan kesejahteraan kepada rakyat serta keyakinan pelancong untuk datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-19 (HUT19) Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Hamid berkata Maritim turut memberi tumpuan dalam operasi mencari dan menyelamat, mengekang kemasukan pendatang asing dan kejadian kecurian bangkai kapal perang lama di perairan negara dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain.

Bagi operasi mencari dan menyelamat, Maritim Malaysia telah melaksanakan sebanyak 237 operasi melibatkan pelbagai insiden di laut pada tahun lepas dengan 1,369 mangsa telah berjayadiselamatkan.

Dalam mengukuhkan usaha penguatkuasaan, beliau memaklumkan pihaknya bakal menerima aset baharu iaitu empat helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 dan dua Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) lagi setelah menerima OPV1 yang kini ditempatkan di perairan Sarawak.

"Dengan ada OPV ini kita boleh mengawal perairan sehingga sejauh 200 batu nautika dan ini memudahkan kita melaksanakan tanggungjawab memantau perairan negara," katanya.

-- BERNAMA