KUALA KEDAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan tiga buah vesel gentian kaca yang dipercayai menggunakan peralatan menangguk siput yang tidak dibenarkan dalam satu rondaan rutin OP AMAN dan OP TIRIS 3.0 di kedudukan 3.0 batu nautika muara Kuala Kedah pada 9 pagi Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tiga buah vesel bersama 10 orang kru nelayan tempatan berkenaan ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangguk siput dengan menggunakan peralatan sangkar besi yang tidak dibenarkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga bot berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan kesalahan di bawah Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kesemua bot, enjin beserta hasil tangkapan seberat 210 kilogram dianggarkan bernilai hampir RM300,000 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.




Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.