Ini antara kandungan Manifesto BN untuk pilihan raya umum ke-14 bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku' yang dilancarkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.
BN juga berjanji untuk menyemarakkan industri berteknologi tinggi bagi mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.
Seterusnya, BN berazam mempercepat pembangunan 'Malaysian Vision Valley' yang dijangka mewujudkan 1.3 juta peluang pekerjaan.
Selain itu, 10,000 peluang pekerjaan disasar diwujudkan dalam keusahawanan sosial melalui dana khas daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Berikut merupakan janji-janji lain yang terkandung dalam manifesto BN:
- Memperluas amalan waktu kerja fleksibel di sektor awam.
- Memacu dasar Ekonomi Hutan berteraskan pengurusan mampan untuk menjana pendapatan dan pekerjaan.
- Menderaskan pertumbuhan sektor hiliran industri minyak dan gas bagi mewujudkan lebih peluang pekerjaan.
- Mewujudkan zon industri mampan untuk lokasi pelaburan baharu.
- Mempertingkat literasi kewangan dengan memperluas program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
- Memperkenal modul literasi kewangan di sekolah menengah.
- Menyediakan peluang latihan kemahiran dan pekerjaan kepada anak-anak yang kurang bernasib baik.
- Memperluas peluang pekerjaan bagi warga kelainan upaya dengan mewujudkan sebuah portal sehenti khas yang membolehkan perkhidmatan-perkhidmatan mereka dipasarkan dalam talian.
- Menambah keanggotaan warga kelainan upaya dalam pelbagai sektor termasuk menjadi anggota majlis pihak berkuasa tempatan dan anggota Dewan Negara.
- Menambah insentif cukai kepada syarikat yang mengambil orang kelainan upaya (OKU) sebagai pekerja.