JERTIH: Firasat seorang bapa yang kuat mengatakan mayat anaknya berada di tingkat tiga Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut dekat sini, tepat apabila mangsa dijumpai di lokasi berkenaan pagi tadi.

Mayat Abdul Wahab Mat Sulaiman, 27, ditemukan kira-kira 8 pagi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira 700 meter dari tempat dia terjatuh iaitu di tingkat lima air terjun itu Khamis lepas.

Bapa mangsa Mat Sulaiman Dollah, 58, sebelum ini yakin anaknya berada di dasar tingkat tiga air terjun itu susulan penemuan baju dan sarung golok milik anaknya di lokasi sama, walaupun ada yang berpendapat mayat mangsa mungkin telah dihanyutkan lebih jauh.

"Awal pagi semalam saya terserempak dengan seekor ular berkilat bersaiz jari orang dewasa sepanjang sekaki di tebing sungai, ular itu kemudian masuk ke dalam sungai tempat mayat anak saya ditemukan hari ini, kehadiran ular aneh itu menguatkan lagi firasat saya.

"Anak saya dijumpai terapung di tepi batu oleh anggota SAR yang naik ke kawasan itu bermula pukul 7 pagi tadi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi mencari anak saya sejak petang Khamis," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Besut di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata mayat mangsa diserahkan oleh pasukan SAR sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

Dalam kejadian pada 22 Dis lepas, Abdul Wahab yang merupakan pekerja penyelenggaraan dan kebersihan sebuah syarikat kontraktor di hutan lipur itu, dilaporkan terjatuh ketika sedang membaiki saluran paip yang rosak akibat banjir di air terjun itu.

-- BERNAMA