KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal seramai 137 mangsa pagi ini, dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, setakat jam 10 pagi ini, hanya daerah Dungun yang masih terjejas.

Kesemua mangsa daripada 42 keluarga itu ditempatkan di dua PPS di daerah berkenaan.

Di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, terdapat 69 mangsa daripada 22 keluarga, sementara di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor menempatkan seramai 68 mangsa daripada 20 keluarga.

Ketika ini, keadaan cuaca semasa mendung dan berangin selain hujan renyai di beberapa kawasan di Terengganu.

Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Khamis menyaksikan dua daerah, iaitu Kemaman dan Dungun, kembali terjejas.