Seramai 46 keluarga mangsa banjir yang sebelum ini enggan berpindah dan masih tinggal di kem sementara Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Bandar Utama di Gua Musang, Kelantan akan dipindahkan secara berperingkat ke kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani bermula hari ini.

Ketua Sektor Unit Pemulihan Pascabanjir Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Muhammad Yusoff Wazir berkata, beberapa agensi telah berjumpa dengan penghuni khemah dan mereka bersetuju untuk berpindah bermula hari ini sehingga 21 Jun.

Katanya penghuni khemah bersetuju untuk menjalani kehidupan baharu di kem PLKN tetapi dengan beberapa syarat.

Bermula hari ini sebanyak lima buah keluarga telah dipindahkan.

“Pemindahan ini akan berlaku secara berperingkat dan mereka telah bersetuju dengan beberapa syarat. Maknanya kita kena tengok daripada segi pengangkutan anak-anak sekolah dan minta bantuan daripada agensi yang terlibat untuk pengangkutan anak sekolah.

“Begitu juga pihak kem telah bersetuju menyediakan tempat khas untuk mereka memasak di khemah yang akan disediakan dan saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang berhemah,” beliau berkata.

Tambah beliau, kerajaan pusat kini sedang giat melaksanakan projek pembinaan rumah kekal sebanyak 74 buah di atas tanah seluas empat hektar di Jalan Pulai, Gua Musang yang menelan belanja RM750,000.

Projek rumah kekal itu, katanya, menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan pembinaan pasang siap itu dijangka akan siap dalam masa 45 hari.

Sementar itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan mangsa banjir dan berharap supaya mereka bersabar menunggu penempatan kekal.

“Kita memutuskan untuk mereka berpindah dalam masa dua atau empat hari ini supaya mereka selesa menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya,” kata beliau.