KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di lima negeri mencatatkan peningkatan kepada 27,891 orang setakat 6 pagi ini berbanding 25,763 orang setakat 8 malam tadi.

Menurut Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 21,380 orang yang ditempatkan di 68 pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Terengganu, jumlah mangsa turut mencatatkan peningkatan kepada 6,259 orang yang berlindung di 61 PPS berbanding 5,983 orang yang berlindung di 60 PPS malam tadi.

Daerah yang terjejas meliputi Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu dan Setiu.

Di Pahang, jumlah mangsa catat sedikit penurunan di mana kini terdapat 119 mangsa masih berlindung di lima PPS di daerah Jerantut, Kuantan, Lipis dan Cameron Highlands berbanding 609 malam tadi.

Di Sabah pula, 20 mangsa ditempatkan di dua PPS di Paitan manakala di Johor, 121 orang ditempatkan di tiga PPS di daerah Johor Bahru dan Segamat.

Hujan dijangka berterusan melanda daerah Dungun dan Kemaman di Terengganu serta Jerantut, Kuantan dan Rompin di Pahang selain Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.