ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah terus peningkatan apabila 1,908 mangsa daripada 576 keluarga dipindahkan di 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah di negeri.

Jumlah itu dilaporkan setakat jam 8 pagi hari ini berbanding 1,813 mangsa daripada 530 keluarga yang dilaporkan jam 8 malam tadi.

Dua lagi PPS baharu dibuka di daerah Kota Setar iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah menempatkan 36 mangsa daripada 25 keluarga manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah seramai 56 mangsa daripada 18 keluarga.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS SK Seri Gunung menempatkan seramai 117 mangsa daripada 37 keluarga manakala SK Taman Aman yang menempatkan seramai 300 mangsa daripada 100 keluarga.

Beliau berkata, PPS di SMK Kepala Batas pula seramai 94 mangsa daripada 33 keluarga.

"Di daerah Kubang Pasu pula, tiga PPS masih beroperasi iaitu di SMK Changlun menunjukkan penurunan dan hanya tinggal 67 mangsa daripada 19 keluarga manakala PPS SK Malau pula membabitkan 132 mangsa daripada 28 keluarga.

"PPS di Dewan PPK Lubuk Batu pula masih menempatkan seramai 60 mangsa daripada 23 keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Suhaimi berkata, tiga PPS daerah Pokok Sena iaitu di SK Bukit Hijau menempatkan seramai 232 mangsa daripada 63 in keluarga manakala PPS Maahad Tarbiyah Derang pula seramai 148 mangsa daripada 40 keluarga.

Selain itu katanya, PPS di SK Permatang Limau pula masih menempatkan seramai 15 mangsa daripada empat keluarga.

"Bagaimanapun mangsa banjir di Baling terus menunjukkan pertambahan di empat PPS yang beroperasi di daerah itu.

"PPS SK Iboi menempatkan seramai 103 mangsa daripada 40 keluarga manakala SMK Jerai pula menempatkan seramai 118 mangsa daripada 37 keluarga manakala PPS di SK Kampung Keda pula seramai 132 mangsa daripada 36 keluarga.

"Selain itu, PPS di Surau An Nur pula merekodkan jumlah mangsa seramai 298 orang daripada 71 keluarga," katanya.