KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Perak dan Melaka terus berkurangan pagi ini manakala tiada perubahan di Pahang.

Jumlah terkini mangsa banjir di tujuh negeri yang terjejas ialah 48,549 orang berbanding 52,596 orang malam tadi manakala kes kematian kekal tujuh orang.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di tiga jajahan terus menunjukkan pengurangan kepada 34,672 orang yang ditempatkan di 87 PPS membabitkan 11,041 keluarga berbanding 36,434 orang malam tadi.

Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 19,140 orang di 46 PPS diikuti Pasir Mas 15,491 orang di 39 PPS dan Bachok 41 orang ditempatkan di dua PPS.

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan hanya dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya namun dalam trend menurun iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (9.41 meter) dan Sungai Golok di Tumpat (3.60 meter).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terkini ialah 7,423 orang ditempatkan di 31 PPS di enam daerah terjejas berbanding 9,315 orang semalam, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu.

Kuala Nerus masih menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa 4,266 orang daripada 1,126 keluarga di 13 PPS, diikuti Dungun 1,726 orang (397 keluarga) di sembilan PPS dan Kuala Terengganu 1,253 orang (304 keluarga) di lima PPS.

Di Setiu sebanyak 95 mangsa (18 keluarga) di dua PPS, Marang 50 mangsa (16 PPS) di satu PPS manakala Hulu Terengganu hanya 33 mangsa (12 keluarga) di satu PPS.

Sementara itu, di KEDAH jumlah mangsa banjir terus berkurangan pagi ini kepada 5,067 orang daripada 1,531 keluarga berbanding 5,428 orang daripada 1,642 keluarga, malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari tiga daerah itu masih ditempatkan 26 PPS.

"Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,588 orang daripada 1,085 keluarga yang ditempatkan di 17 PPS, diikuti Kubang Pasu 1,117 orang daripada 339 keluarga di enam PPS dan Pokok Sena 362 orang daripada 107 keluarga di tiga PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah mangsa banjir di JOHOR pula mencatatkan sedikit penurunan pagi ini kepada 1,009 orang berbanding 1,034 orang malam tadi, melibatkan 281 keluarga yang ditempatkan di 18 PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata 833 mangsa daripada 232 keluarga di Segamat ditempatkan di 16 PPS manakala di Tangkak pula, jumlah mangsa adalah 176 daripada 49 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

Beliau berkata stesen Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 4.85 meter, manakala stesen Sungai Muar di Buloh Kasap mencatatkan bacaan 9.57 meter, namun cuaca di lapan daerah di negeri itu diramal cerah dan hanya Muar serta Tangkak dijangka mendung pagi ini.

Azmi berkata dua kawasan jalan di Segamat masih ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat banjir iaitu Jalan Kuala Paya-Balai Badang dan Jalan Tumang, sementara Jalan Serakek di daerah sama hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja.

Di PERAK, JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini terus berkurangan kepada 167 mangsa daripada 58 keluarga yang berlindung di lima PPS berbanding 172 mangsa malam tadi.

Menurut sekretariat itu, sebanyak 102 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah Kinta manakala 65 mangsa daripada 22 keluarga berlindung di dua PPS di daerah Perak Tengah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula memaklumkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Hilir Perak, Hulu Perak dan Kinta diramalkan ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam.

Mangsa banjir di MELAKA juga berkurangan sedikit kepada 160 mangsa daripada 41 keluarga pagi ini berbanding 162 mangsa daripada 42 keluarga malam tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka.

Sebanyak 109 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu manakala 51 mangsa daripada 14 keluarga berlindung di PPS SK Seri Mendapat, masing-masing membabitkan daerah Jasin.

Di PAHANG, berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, jumlah mangsa banjir kekal dengan 51 orang setakat 8 pagi ini dengan empat PPS beroperasi iaitu dua di Temerloh manakala masing-masing satu di Bera dan Maran.

Semakan di infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, hanya satu sungai utama di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran (27.02 meter) manakala dua sungai di Pekan dan Maran (1) melebihi tahap amaran.

-- BERNAMA